PERBICARAAN kes membabitkan serangan di Brussels pada 2016 yang mengakibatkan berpuluh-puluh orang terbunuh, berakhir pada Jumaat dengan beberapa pelaku dihukum penjara untuk tempoh yang panjang, lapor dpa memetik Agensi Berita Belga.
Pada Julai, mahkamah mendapati enam lelaki bersalah atas pembunuhan dalam serangan pengganas dan dua lagi bersalah menyertai kumpulan pengganas.
Tiga daripada mereka yang disabitkan dengan pembunuhan itu telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, manakala dua lagi masing-masing dipenjara 30 dan 20 tahun.
Hukuman ke atas lelaki keenam yang disabitkan dengan pembunuhan itu tidak ditambah kerana dia telah pun dihukum penjara 20 tahun di Belgium kerana menembak polis sebelum ditangkap.
Pengebom bunuh diri pada 22 Mac 2016 itu menyasarkan lapangan terbang di bandar dan stesen metro, menyebabkan 35 maut dan ratusan lagi cedera.
Beberapa penjenayah telah pun dijatuhi hukuman penjara yang panjang kerana serangan pengganas berasingan di Paris pada 2015 yang mengorbankan 130 orang. – Bernama, 16 September, 2023.
Komen