MUDA tiada hasrat menyertai Perikatan Nasional seperti mana dicadangkan Presiden Gerakan Dominic Lau, kata Setiausaha Agungnya Amir Hadi.
Katanya, Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda tidak pernah membincangkan penyertaan parti itu ke dalam PN.
“Muda juga tidak pernah menghantar sebarang permohonan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi untuk menyertai PN.
“Sebarang kenyataan yang mengaitkan penyertaan Muda ke dalam PN bukan dari Muda dan tidak mewakili Muda,” katanya dalam satu kenyataan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan yang Gerakan akan membawa cadangan ke dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN berkaitan niat mereka untuk membawa Muda ke dalam kerjasama politik itu.
Dominic berkata idea itu timbul selepas Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan keputusan parti untuk menarik sokongan kepada kerajaan perpaduan.
Tambah Amir lagi, komitmen parti itu adalah untuk mengukuhnya dirinya sebagai kuasa ketiga dalam politik Malaysia.
“Menjadi Semak dan imbang kepada kerajaan, dan dalam masa yang sama menolak penggunaan isu kaum dan agama yang melampau untuk kepentingan dan tujuan politik,” katanya. – 16 September, 2023.
Ends.
Komen