China sedia bekerjasama dengan G77 untuk Selatan-Selatan


China sedia untuk bekerjasama dengan ahli Kumpulan 77 (G77) untuk membuka lembaran baharu dalam kerjasama Selatan-Selatan dalam usaha untuk pembangunan lebih besar melalui solidariti yang lebih kukuh. – Gambar EPA, 16 September, 2023.

ANGGOTA Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), Li Xi pada Jumaat berkata China sedia untuk bekerjasama dengan ahli Kumpulan 77 (G77) untuk membuka lembaran baharu dalam kerjasama Selatan-Selatan dalam usaha untuk pembangunan lebih besar melalui solidariti yang lebih kukuh, lapor Xinhua.

Li membuat kenyataan itu semasa menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 77 dan China di Havana, Cuba sebagai wakil khas Presiden China Xi Jinping.

Menurutnya, China sedia untuk bekerjasama dengan ahli G77 untuk membina komuniti Global South dengan masa depan bersama, dan membawa era baharu pembangunan bersama.

Beliau berkata dunia sedang mengalami perubahan pada skala yang tidak dapat dilihat dalam satu abad. Negara membangun semakin kuat. Kerjasama Selatan-Selatan memainkan peranan yang semakin penting dalam memacu momentum kebangkitan kolektif negara membangun dan dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi global yang berterusan.

“Bagaimanapun pada masa yang sama, unilateralisme dan hegemonisme semakin berleluasa. Beberapa negara menggunakan pendekatan seperti sekatan unilateral, pemisahan dan gangguan rantaian perindustrian dan bekalan, secara serius menjejaskan hak pembangunan dan kepentingan sah negara membangun dan ruang kita untuk pembangunan,” kata Li.

Beliau turut menekankan bahawa negara membangun secara meluas mengharapkan untuk memperkuat perpaduan dan kerjasama serta berusaha untuk menjadikan tadbir urus global lebih adil dan saksama.

Li juga menyeru ahli G77 supaya kekal dengan aspirasi asal G77 untuk kemerdekaan dan kekuatan kolektif yang lebih besar melalui perpaduan. Selain itu, beliau menggalakkan untuk menyokong kesaksamaan, keadilan dan keterangkuman. Beliau merayu untuk meneruskan pembangunan, pemulihan, dan kerjasama menang-menang.

“Kita perlu memupuk pemacu baharu untuk pembangunan kita sendiri, denga  memberi tumpuan kepada kerjasama dalam bidang keselamatan makanan, pembasmian kemiskinan, perindustrian, pembangunan hijau, teknologi digital, dan kecerdasan buatan,” kata Li.

Usaha perlu dilakukan untuk memastikan semua negara mendapat manfaat yang sama daripada hasil digital, dan tidak ada negara membangun yang akan ketinggalan atau diabaikan dalam pembangunan teknologi dan industri baharu, tambahnya.

Li berkata China akan terus mengekalkan komunikasi dan penyelarasan yang rapat dengan anggota G77 untuk mengoptimumkan pengagihan sumber pembangunan, memperdalam kerjasama Selatan-Selatan, memastikan penggunaan barangan awam yang cekap daripada kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Inisiatif Pembangunan Global (GDI) serta inisiatif lain, menutup jurang pembangunan, dan menyelesaikan masalah dalam pembangunan. – Bernama, 16 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen