Bersatu teguh, bercerai roboh


HARI ini genap 60 tahun kita bersama di dalam sebuah gabungan yang kita gelar sebagai Malaysia.

Enam dekad bukan satu tempoh masa yang singkat, dan dalam tempoh tersebut banyak yang kita lalui bersama. Ada kenangan manis dan tak kurang juga yang pahit.

Apa pun, amat perlu kita toleh ke belakang apabila kita mahu maju ke hadapan.

Tujuan asal kita tubuh Malaysia ialah untuk pastikan pengaruh komunis tidak bertapak di Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak.

Walaupun Singapura bukan sebahagian kita lagi, tetapi kesemua kita telah berjaya menyekat komunis bertapak.

Kita juga setuju untuk bersama sebagai usaha ke arah kemerdekaan Sabah dan Sarawak. Ini juga telah kita capai.

Hasil yang kita harap daripada gabungan ini – mengembang ekonomi dan membangun bersama terus dikemudi dan menjadi teras kepada gabungan kita.

Ada ketika timbul rasa kurang senang antara satu sama lain. Ia perkara biasa dalam mana-mana penyatuan wilayah-wilayah berbeza.

Yang penting, selagi pemimpin dan pemikir yakin bahawa bersatu itu teguh dan bercerai akan roboh, insya-Allah gabungan kita akan terus utuh.

Kita sambut Hari Malaysia dalam semangat sedemikian. Itulah asas kepada gabungan kita.

Kesatuan kita di dalam kepelbagaian dan kepelbagaian kita di dalam kesatuan. Ini kita sambut tanpa ketepikan asal-usul dan menafi sejarah pembentukan negara bangsa ini.

Selamat Hari Malaysia.

Semoga Allah memberi keberkatan kepada kita semua. – 16 September, 2023.

* Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen