Pakatan Sabah nafi laporan Musa Aman ketuai gabungan negeri


Pakatan Harapan Sabah menafikan laporan sebuah portal berita tempatan kononnya bekas Ketua Menteri Musa Aman bakal mengetuai gabungan politik itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September 2023.

PAKATAN Harapan (PH) Sabah menafikan laporan sebuah portal berita tempatan kononnya bekas Ketua Menteri Musa Aman bakal mengetuai gabungan politik itu.

Menerusi kenyataan bersama hari ini gabungan itu menyatakan perkara tersebut tidak pernah dibincang atau diputuskan oleh mereka.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengerusi PH Sabah Christina Liew, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Ewon Benedick, Pengerusi PKR Sabah Sangkar Rasam, Pengerusi DAP Sabah Frankie Poon dan Pengerusi Amanah Sabah Lahirul Latigu.

Menurut kenyataan itu PH Sabah amat terkejut dengan laporan bertajuk Musa Aman akan ketuai PH Sabah? yang tular di media sosial dan menimbulkan kekeliruan serta kerisauan rakyat.

“PH Sabah mengambil pendirian mana-mana keputusan mustahak berhubung kait dengan mandat dan keyakinan rakyat seharusnya dipertimbang, diteliti dan diperhalusi sebulat suara pada peringkat pimpinan PH Sabah.

“PH Sabah akan bertemu dan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara ini termasuk hala tuju PH Sabah menjelang pilihan raya negeri yang bakal diadakan,” katanya. – Bernama, 15 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen