Anwar tak tolak kemungkinan jelaskan isu Zahid di Dewan Rakyat


Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini dilaporkan berkata beliau tidak menolak kemungkinan untuk memberi penjelasan berhubung keputusan melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen. – Gambar EPA, 15 September, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak menolak kemungkinan untuk memberi penjelasan di Dewan Rakyat berkait keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) timbalannya Ahmad Zahid Hamidi.

“Mungkin, insya-Allah” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Perdana menteri ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Nasyrul Quran di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas gesaan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim supaya Anwar memberi penjelasan di Dewan Rakyat mengenai keputusan DNAA Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi.

Hassan berkata langkah itu penting bagi membolehkan ahli Parlimen pembangkang mendapat penjelasan sebenar.

“Saya percaya apa yang beliau kata pada saya itu - antara dua orang sahabat, pemimpin dengan anggota partinya. Saya ada hak untuk percaya apa yang pemimpin saya cakap, dengan anggota partinya.

“Saya tidak akan campak pemimpin saya di bawah bas. Saya akan pertahankan di dalam Dewan ini.

“Tetapi, untuk berlaku adil, supaya sahabat-sahabat di blok pembangkang dan kami Backbenchers nak dengar dari perdana menteri sendiri, supaya isu DNAA dinoktahkan juga dalam dewan ini,” katanya ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat semalam.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September lalu melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Zahid pada peringkat ini. – 15 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen