Malaysia main peranan penting banteras Islamofobia, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata perbuatan membakar al-Quran yang berlaku akibat kejahilan, sombong dan pemikiran neokolonial perlu dibanteras menerusi ilmu dan pemahaman. – Gambar Facebook, 15 September, 2023.

MALAYSIA memainkan peranan penting dalam usaha membanteras Islamofobia, kejahilan dan kebencian terhadap Islam, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perbuatan membakar al-Quran yang berlaku akibat kejahilan, sombong dan pemikiran neokolonial perlu dibanteras menerusi ilmu dan pemahaman.

“Bagi orang Islam sudah tentu melalui al-Quran,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya hari ini.

Anwar berkata al-Quran dan terjemahannya yang dihasilkan oleh Yayasan Restu, telah dicetak, diterjemahkan dan diedarkan ke seluruh dunia, khususnya di negara-negara Barat.

“...supaya mereka (orang Barat) berpeluang membaca, memahami untuk menghayati, seperti yang kita lakukan dalam menghormati agama lain di negara ini.

“Saya berharap melalui usaha ini, kita dapat mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni dan lebih memahami serta menghormati kemanusiaan,” katanya. – Bernama, 15 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen