UK jadikan sekatan berkaitan perjanjian nuklear Iran sebagai undang-undang


SEKATAN ke atas Iran berkaitan perjanjian nuklear antarabangsa akan dijadikan undang-undang United Kingdom (UK) bagi menghalangnya daripada luput bulan depan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa). 

Britain, Perancis dan Jerman, berkata sekatan itu akan kekal kerana ketidakpatuhan berterusan Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPoA) dengan Tehran.

Sekatan yang akan dikekalkan oleh tiga negara Eropah, dikenali sebagai E3, melarang Iran daripada membangunkan peluru berpandu balistik yang mampu membangunkan senjata nuklear dan menghalang sesiapa daripada membeli, menjual atau memindahkan dron dan peluru berpandu ke dan dari Iran.

Langkah itu yang merupakan sebahagian daripada perjanjian nuklear pelbagai hala yang dibuat lapan tahun lepas, sepatutnya tamat pada 18 Oktober ini.

Perjanjian itu dirundingkan pada 2015 antara Iran, Amerika Syarikat, UK, Perancis, Jerman, China, Rusia dan Kesatuan Eropah untuk menghalang Tehran daripada membangunkan senjata atom.

Jurucakap Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan UK berkata: “Iran terus melanggar komitmennya di bawah JCPoA dan memajukan program nuklearnya di luar semua justifikasi awam yang boleh dipercayai.

Mengikut perjanjian itu, Tehran bersetuju mengehadkan pengayaan uranium kepada tahap yang diperlukan untuk tenaga nuklear sebagai pertukaran kepada tindakan menarik balik sekatan ekonomi ke atasnya.

Iran dikatakan melanggar syarat itu setahun kemudian dan kini memperkayakan uranium ke tahap hampir gred senjata, menurut laporan oleh badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Negara Asia Barat itu melanggar sekatan dengan membangunkan dan menguji peluru berpandu balistik serta menghantar dron ke Rusia untuk berperang dengan Ukraine.

Pegawai FCDO berkata keputusan untuk menjadikan sekatan itu sebagai undang-undang UK tidak melanggar JCPoA dan “sepenuhnya konsisten dengan prosedur yang ditakrifkan dalam” perjanjian itu.

London berkata Iran secara konsisten melanggar kewajipannya di bawah JCPoA, dengan simpanan uranium diperkaya rejim itu 18 kali ganda had yang ditetapkan dalam perjanjian itu.

Kerajaan UK berkata pada Mac 2022 dan sekali lagi bulan lepas, Britain dan rakan kongsinya menawarkan tawaran berdaya maju kepada Iran bagi meredakan isu nuklear, namun ditolak oleh Tehran.

Sekatan itu akan kekal sehingga Tehran “mematuhi sepenuhnya” perjanjian itu, kata E3. – Bernama, 15 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen