Chegubard bebas selepas beri keterangan


Aktivis pembangkang Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard ditahan kerana enggan memberi kerjasama ke atas siasatan polis berhubung kenyataannya yang menyentuh konflik sempadan Malaysia-Indonesia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2023.

AKTIVIS pembangkang Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard yang ditahan malam tadi sudah dibebaskan awal pagi ini, menurut Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari.

Ahmad Fadhli memaklumkan perkara itu menerusi hantaran di Facebook pagi tadi.

“Alhamdulillah CikguBard (Chegubard) dibebaskan pagi ini jam 2.15 pagi selepas diambil keterangan. 

“Jalan terus! Selamatkan Malaysia,” tulisnya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata penahanan Chegubard tiada kena dengan perhimpunan Selamatkan Malaysia yang dirancang Sabtu ini.

Aktivis Bersatu itu ditahan kerana enggan memberi kerjasama ke atas siasatan polis, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi malam tadi.

Chegubard ditahan bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang menyentuh konflik sempadan Malaysia-Indonesia, pemilikan harta pemimpin negara serta pendedahan dokumen rahsia besar sebuah jabatan kerajaan di media sosial, kata Mohd Shuhaily dipetik Berita Harian.

Menurut beliau polis menerima enam laporan dan telah membuka lima kertas siasatan berhubung kes berkenaan.

“Antara siasatan yang dijalankan adalah berkaitan isu Ambalat, iaitu mendakwa Malaysia menyerahkan Blok Ambalat kepada Indonesia semasa pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Joko Widodo.

“Antara siasatan kes lain adalah seperti pendedahan harta yang dimiliki Anwar Ibrahim menerusi aplikasi Tik Tok milik Badrul serta pembocoran dokumen sebuah jabatan kerajaan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Tambahnya,polis sudah beberapa kali memanggil Chegubard untuk rakaman percakapan tetapi beliau gagal hadir membantu siasatan termasuk mengemukakan notis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1997, Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – 15 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen