Pita tersenarai dalam majalah 'Time 100 Next'


Pemimpin Parti Move Forward Pita Limjaroenrat disenaraikan dalam kategori 'Pemimpin' dan merupakan satu-satunya wakil Thailand yang tersenarai tahun ini. – Gambar AFP, 15 September, 2023.

PEMIMPIN Parti Move Forward (MFP) Pita Limjaroenrat tersenarai dalam  majalah “Time 100 Next 2023”.

Majalah berita Amerika itu mengeluarkan senarai terkini 100 pemimpin muda dari seluruh dunia yang sedang membentuk masa depan dan menentukan generasi kepimpinan akan datang.

Pita yang berusia 42 tahun itu disenaraikan dalam kategori “Pemimpin” dan merupakan satu-satunya wakil Thailand yang tersenarai tahun ini.

Wartawan Time, Charlie Campbell menerusi ulasan mengenai perjalanan hidup Pita menulis bahawa satu-satunya perkara yang lebih menakjubkan daripada kemenangan pilihan raya adalah agenda radikal yang  dilaksanakan untuk mencapainya.

“Graduan Harvard itu memperoleh 38% undi dalam pilihan raya umum pada 14 Mei dengan berjanji untuk mengawal angkatan tentera negara dan sistem monarki yang dihormati, membatalkan undang-undang fitnah diraja yang kontroversi, dan menamatkan sistem rekrut tentera.

“Tetapi sifat demokrasi Thailand yang rumit bermakna laluan Pita untuk berkuasa disekat oleh Senat yang tidak dipilih dan pelbagai cabaran undang-undang,” tulisnya.

Campbell berkata Pita mungkin bukan perdana menteri, tetapi gerakan reformis yang dipimpinnya berjanji untuk terus membina momentum, terutama di kalangan anak muda Thailand.

“Saya berbangga dengan apa yang kita capai, dan kita boleh melakukan lebih banyak lagi untuk melakukan proses semak dan imbang di parlimen dan bercakap bagi pihak rakyat,” kata Pita.

MFP memenangi 151 kerusi dalam pilihan raya umum tahun ini, bagaimanapun Pita gagal mendapat sokongan yang mencukupi daripada parti dan senator lain untuk menjadi perdana menteri. – Bernama, 15 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen