Komuniti perniagaan sambut baik cadangan pesara kembali bekerja


Angie Tan

Cadangan mengambil semula pesara bekerja akan membantu mengisi kekosongan pekerjaan dan mempercepatkan wawasan Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2023.

CADANGAN membenarkan pesara memasuki semula pasaran tenaga kerja secara fleksibel disokong sebulat suara oleh pemimpin perniagaan.

Mereka berkata ia adalah satu perkembangan ke arah yang betul kerana ramai di antara mereka pada usia persaraan masih produktif dan mampu menyumbang kepakaran dan pengetahuan mereka.

Antara yang menyokong langkah itu ialah Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) Oliver Wee Hiang Chyn yang berpendapat usia persaraan 60 tahun sekarang nampaknya terlalu awal.

“Membenarkan pesara kembali bekerja pastinya satu perkara yang baik. Mereka bukan sahaja mempunyai pengetahuan tetapi juga pengalaman bertahun-tahun.

“Ini bukanlah bermakna meminta mereka melakukan kerja manual di tapak pembinaan, sebaliknya mengambil peranan sebagai penasihat dalam syarikat.

“Sebagai contoh, apabila kakitangan pengurusan kanan syarikat digantikan oleh orang baharu, semasa fasa peralihan ini, pesara yang mempunyai pengalaman boleh datang untuk mengetuai dan memastikan operasi perniagaan diteruskan dengan lancar,” kata Wee kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata pesara boleh bekerja secara sambilan bagi jawatan penasihat sedemikian.

Wee berkata walaupun mengalu-alukan pesara untuk memasuki semula tenaga kerja, pertimbangan juga harus diberikan kepada peluang peningkatan kerjaya pekerja muda.

“Saya sentiasa percaya jawatan penting harus dinaikkan dari dalam syarikat. Melibatkan semula mereka (pesara) bukanlah satu kelemahan kerana syarikat tidak mengupah mereka dengan ramai.

“Ini kerana tidak semua pesara sanggup kembali bekerja. Kebanyakan mereka sebenarnya mengharapkan kehidupan yang bebas.

“Mereka yang bersedia untuk kembali bekerja selalunya mereka yang mempunyai semangat kuat untuk bekerja.”

Setiausaha Agung Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia Chin Chee Seong menegaskan industri tertentu, khususnya digital, teknologi, kewangan dan perbankan, menghadapi kesukaran untuk mencari pekerja sesuai.

Beliau berkata cadangan mengambil semula kumpulan ini akan membantu mengisi kekosongan pekerjaan dan mempercepatkan wawasan Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

“Ia membolehkan pekerja muda yang tidak berpengalaman belajar daripada warga emas.”

Bagaimanapun, Chin mengakui terdapat kelemahan mengambil pesara bekerja.

“Ia mengehadkan peluang pekerjaan pekerja muda terutama dalam industri yang mempunyai peluang pekerjaan terhad. – 15 September, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen