PERBICARAAN kes seorang aktivis politik yang didakwa memuat naik sebuah video untuk memperlekehkan badan kehakiman kekal di Mahkamah Sesyen Sepang.
Ini berikutan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Vazeer Alam Mydin Meera hari ini sebulat suara menolak rayuan Jufazli Shi Ahmad, 34, untuk memindahkan perbicaraan kesnya dari Mahkamah Sesyen Sepang ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Collin Lawrence Sequerah dan Azmi Ariffin.
Hakim Vazeer berkata mahkamah mendapati terdapat merit dalam bantahan awal pihak pendakwaan terhadap rayuan Jufazli.
“Kami bersetuju keputusan Mahkamah Tinggi tidak boleh dirayu dan ia bukan perintah muktamad,” katanya ketika menolak rayuan Jufazli.
Jufazli yang merupakan bekas calon bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Papat, Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mahu kes tersebut didengar di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana dakwaan memuat naik video tersebut berlaku di Cheras, Kuala Lumpur.
Pada 29 Julai 2021 Mahkamah Sesyen Sepang menolak permohonan memindah kesnya dan permohonan semakan juga ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 11 November tahun yang sama.
Jufazli, anak jati Sabah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan memuat naik video berdurasi 20 minit bertajuk “Hakim Kes IMDB diugut oleh Najib Razak dalam Mahkamah Malaysia!?!?” di Cheras, Kuala Lumpur pada 22 Januari 2021.
Video itu dilihat pada hari berikutnya di sebuah lokasi di Cyberjaya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 dan penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah Sesyen membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Pada prosiding hari ini Timbalan Pendakwa Raya, P. Sarulatha berhujah rayuan adalah tidak cekap kerana keputusan Mahkamah Tinggi bukanlah keputusan yang akhirnya melupuskan hak Jufazli dan keputusan itu tidak boleh dirayu.
Peguam Jufazli M. Visvanathan yang dibantu oleh V. Sanjay berhujah anak guamnya yang tinggal di Cheras akan menanggung kos dan masa tambahan jika perbicaraan itu diadakan di Mahkamah Sesyen di Sepang. – Bernama, 14 September, 2023.
Komen