BMI, unit di bawah agensi penarafan kredit Fitch Solutions, menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalamannya (OPR) pada 3.00% sehingga akhir 2024 memandangkan inflasi domestik terus mereda di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang perlahan.
Menurut BMI, bank pusat Malaysia pada mesyuarat dasar monetari bertarikh 7 September mengekalkan OPR pada paras semasa yang mana ia selari dengan konsensus dan jangkaannya.
“Kami terus mengunjurkan BNM mengekalkan OPR di mesyuarat seterusnya pada 6 November (mesyuarat terakhir untuk 2023) dan sehingga akhir 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BMI berkata inflasi domestik negara berada pada trajektori penurunan yang stabil, dengan inflasi utama berkurangan daripada 2.8% tahun ke tahun pada Mei kepada 2.0% pada Julai 2023.
“Inflasi yang bertambah baik menunjukkan kadar dasar sebenar Malaysia kini berada dalam zon positif. Justeru, kami percaya pendirian dasar semasa adalah mencukupi untuk mengekalkan inflasi terkawal,” katanya.
Menurut BMI, penurunan harga yang lebih pantas daripada jangkaan telah mendorongnya merendahkan unjuran inflasi akhir 2023 kepada 1.8% daripada 2.0% sebelum ini.
Sehubungan itu, ia melaraskan unjuran inflasi kepada purata 2.6% pada 2023 daripada 2.7% sebelum ini. – Bernama, 14 September, 2023.
Komen