Bilangan kecil halang cita-cita kuasa ketiga Muda, kata pakar politik


Ravin Palanisamy

Peluang Muda untuk menjadi kuasa ketiga di Malaysia hampir sifar kerana ia hanya mempunyai dua wakil rakyat, kata pakar politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2023.

PELUANG Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk menjadi kuasa ketiga di Malaysia hampir sifar kerana ia hanya mempunyai dua wakil rakyat – seorang di Parlimen dan satu lagi di Johor, kata pakar politik.

Pakar politik berkata parti berasaskan belia itu tidak mengambil berat dalam iklim politik semasa gabungan pelbagai kaum menentang gabungan berasaskan Melayu-Islam.

Secara konvensional kuasa ketiga ditakrifkan sebagai kumpulan yang menjadi perantaraan antara dua kuasa politik yang bertentangan.

“Muda boleh menjadi kuasa ketiga seperti yang diingini, tetapi saya ragu sama ada ia boleh menyumbang secara signifikan kepada perundangan di Parlimen dan DUN Johor.

“Satu suara tunggal tidak memberikan apa-apa perbezaan,” kata Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada The Malaysian Insight.

Penolong profesor sains politik itu berkata, bidang politik sekarang sudah sesak dengan parti-parti besar. Muda perlu mencari sesuatu yang unik untuk meraih sokongan daripada pengundi, jika gagal, parti itu akan disifatkan sebagai “itik mati”.

“Mungkin seperti apa yang mereka lakukan selama ini, mewujudkan kesedaran awam mengenai isu yang membimbangkan melalui penglibatannya dalam media sosial,” katanya sambil menambah ia boleh memastikan mereka tetap relevan dalam bidang politik.

Muda memenangi kerusi Parlimen Muar serta kerusi DUN Puteri Wangsa di Johor dengan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Dalam dewan 222 kerusi itu, PH mempunyai 81 kerusi dalam kalangannya, BN (30), PN (74), GPS (23) dan GRS (6).

Di DUN Johor BN mempunyai 49 kerusi, PH (12) dan PN (3).

Ahad lalu, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan bahawa pihaknya tidak akan lagi menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai membantah keputusan pendakwa raya menggugurkan 47 pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/461451

Ahli Parlimen Muar itu mengisytiharkan Muda kini akan menjadi kuasa ketiga dalam pembangkang.

Susulan keputusan Muda meninggalkan blok kerajaan di Parlimen, ini mengurangkan sokongan terhadap pentadbiran Anwar kepada 147 manakala jumlah pembangkang meningkat kepada 75. Sekurang-kurangnya 148 Ahli Parlimen diperlukan untuk majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 kerusi.

Walaupun menarik balik sokongan, Syed Saddiq menegaskan komitmen dan sokongannya terhadap undang-undang yang dicadangkan kerajaan persekutuan di Parlimen jika Rang Undang-undang tersebut “progresif” dan bertujuan untuk pembaharuan. – 14 September, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen