Penganjur perhimpunan 'Selamatkan Malaysia' belum beri notis pemakluman, kata polis


POLIS masih belum menerima notis pemakluman daripada penganjur perhimpunan ‘Selamatkan Malaysia’ yang bakal diadakan di ibu negara Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang perhimpunan perlu membuat permohonan mengikut prosedur di bawah Seksyen 9 (1) APA 2012 dalam tempoh lima hari sebelum acara.

Kegagalan berbuat demikian adalah menyalahi undang-undang, katanya seperti dilapor media.

Polis bagaimanapun akan melakukan pemantauan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam menjadi keutamaan.

“Selepas hanya berbaki tiga hari menjelang Sabtu, kita menganggap tidak menerima sebarang pemakluman daripada mana-mana penganjuran perhimpunan.

“Notis pemakluman bertujuan untuk memudahkan polis melakukan penyelarasan dan melancarkan aliran trafik.

“Bagi penganjur pula tanggungjawab mereka adalah memberitahu pihak polis supaya kita dapat menyelaras dan mengaturkan keanggotaan yang sewajarnya demi keselamatan,” katanya kepada pemberita.

Perhimpunan Selamatkan Malaysia dijadual diadakan pada Sabtu ini dianjurkan Perikatan Nasional (PN) diketuai ketua pemudanya Ahmad Fahdli Shaari bagi membantah keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Sementara itu Allaudeen berkata setakat ini pihaknya menerima enam laporan berhubung perhimpunan itu, dengan lima individu telah dirakam keterangan termasuk Ahmad Fadhli yang juga ahli Parlimen Pasir Mas dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

“Tiga lagi ialah Adun Gombak Setia (Muhammad Hilman Idham) dan dua wartawan yang membuat liputan sewaktu sidang media Ahmad Fadhli mengenai perhimpunan itu. Seorang lagi individu diminta hadir memberi keterangan untuk membantu siasatan polis,” katanya dipetik Bernama.

Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). – 13 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen