Kerajaan perlu kurangkan subsidi golongan kaya sebelum perkenal semula GST, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika bercakap pada Sidang Kemuncak Asia ke-10 Milken Institute yang diadakan di Singapura hari ini.– Gambar PMO, 13 September, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perlu mengurangkan subsidi kepada golongan kaya sebelum memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Semasa temu bual bersama Haslinda Amin daripada Bloomberg di Sidang Kemuncak Asia ke-10 Milken Institute, Anwar mengakui bahawa GST adalah sistem cukai yang paling cekap dan telus.

“Bila kita laksanakannya? Ia bergantung pada ambang. Apabila rakyat hidup dalam kemiskinan yang teruk, anda perlu memperkenalkan dasar cukai progresif, tetapi bukan dasar asas meluas yang memberi kesan kepada golongan sangat miskin.

“Jadi, anda perlu beri sedikit masa, namun adakah anda langsung tidak melakukan apa-apa? Tidak. Anda perlu meluaskan asas cukai, sudah tentunya.Tetapi anda perlu terlebih dahulu mengurangkan subsidi kepada orang kaya,” katanya.

Beliau berkata rasionalisasi subsidi tidak akan menjadi keputusan popular tetapi kerajaan ada masa empat tahun sebelum pilihan raya akan datang.

Justeru, katanya, kerajaan perlu melakukan rasionalisasi subsidi secepat mungkin kerana perbelanjaan subsidi untuk negara adalah antara yang tertinggi di Asia.

Mengenai pelaburan, Anwar berkata, Malaysia menumpukan kepada kejelasan dasar untuk memastikan negara mampu menarik pelaburan seperti yang berjaya dilakukan pada era 90-an.

Beliau berkata dengan dasar yang betul, kejelasan dasar ekonomi dan disokong oleh tadbir urus yang baik Malaysia boleh melakukan lebih baik lagi daripada era 90-an.

“Kami mempunyai pasukan yang bagus dan kami perlu menerima hakikat bahawa kami memerlukan pelaburan. Perlu ada kemudahan untuk menjalankan perniagaan. Perlu ada kejelasan dasar ekonomi.

“Pada asasnya terdapat konsep Madani, tetapi mengapa saya memanggilnya Madani? Ia adalah kerana keprihatinan dan belas kasihan.

“Kita perlu menangani isu ketidaksamaan, kita ada rakyat yang tinggal di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak, dan beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia. Kita perlu menangani isu ini.

“Dan dengan dasar yang jelas, kami telah dapat menarik pelaburan utama dalam tempoh lima hingga enam bulan lepas dari China, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. Pelaburan terbesar daripada Infineon Technologies, (melabur) lima bilion euro (kira-kira RM24.9 bilion) ke Malaysia. Ini akan sangat membantu untuk meningkatkan keyakinan,” kata Perdana Menteri.

Kerajaan memperkenalkan Ekonomi Madani yang bertujuan untuk meningkatkan ekonomi Malaysia, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) bagi mencapai aspirasi pelepasan gas rumah hijau (GHG)  bersih-sifar negara seawal 2050 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang disasarkan untuk merancakkan semula sektor pembuatan negara serta meningkatkan pemulihan nilai tambahnya kepada RM587.5 bilion menjelang 2030.

Mengenai pelaburan Tesla, Anwar berkata, syarikat automotif terkemuka dari AS itu memutuskan untuk membuka ibu pejabat operasinya di Malaysia pada akhir Oktober atau awal November tahun ini.

Manakala tiga syarikat tempatan menjalin kerjasama dengan SpaceX, sambil menambah Starlink berpotensi untuk memberi manfaat yang besar kepada Malaysia, katanya. 

Ketika ditanya sektor mana yang pelabur harus melabur di Malaysia, Anwar berkata, Malaysia dijangka menyaksikan peningkatan ketara dalam bidang transformasi digital, transformasi tenaga dan tenaga boleh diperbaharui.

“Mengenai cukai pelaburan, ia perlu menarik bagi pelaburan… apa sahaja yang perlu dilakukan, apa sahaja yang perlu untuk memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi kompetitif yang menarik untuk pelaburan,” katanya. – Bernama, 13 September, 2023.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen