MUHYIDDIN Yassin mendakwa kerajaan persekutuan melakukan pendakwaan terpilih dalam isu berkaitan 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja.
“Saya disiasat beberapa kali oleh polis dan berdepan pendakwaan jenayah hanya kerana saya suarakan kebimbangan orang Melayu dan Islam.
“Tetapi pemimpin di sebelah sana yang mengeluarkan kenyataan negatif, termasuk membuat sentiment perkauman, tidak disentuh walaupun sebelum berpuluh, malah beratus laporan polis dibuat terhadap mereka,” katanya yang juga ahli Parlimen Pagoh.
Semalam, polis mengambil keterangan Muhyiddn berhubung ucapannya pada kempen Pilihan Raya Kecil Pulai.
Ucapan bekas perdana menteri itu dikatakan menyentuh isu 3R.
Dalam ucapannya, Muhyiddin dilaporkan berkata haram untuk mengundi Pakatan Harapan pada PRK Pulai.
Pengerusi Perikatan Nasional turut mengecam kerajaan pada masa ini, berkata dasarnya lebih teruk daripada zaman penjajah British.
“Sebagai pemimpin Melayu, adakah saya dianggap penjenayah hanya kerana menyuarakan kepentingan orang Melayu dan Islam?
“Sejak bila pemimpin Melayu di negara ini tidak boleh bercakap tentang kepentingan Melayu dan Islam?
“Penjajah British keluar dari negara kita sudah lama, tetapi nampaknya dasar dikuatkuasakan kerajaan semasa lebih teruk daripada dasar penjajah,” katanya di Parlimen hari ini. – 13 September, 2023.
Komen