Lebih 70 buaya terlepas di China selepas banjir


LEBIH 70 buaya melarikan diri dari sebuah ladang buaya di selatan China selepas banjir teruk, lapor pihak berkuasa.

Reptilia itu terlepas dari bandar Maoming selepas hujan lebat turun di wilayah itu selama beberapa hari, Agensi Berita Jerman (dpa) memetik portal berita China The Paper dan laporan lain semalam yang merujuk pihak berkuasa tempatan.

Insiden berlaku selepas sebuah tasik berhampiran ladang buaya itu melimpahi tebingnya, membolehkan haiwan itu terlepas.

Sekurang-kurangnya 69 buaya dewasa dan enam yang lebih muda dipelihara di ladang itu.

Menurut akhbar Beijing News, pasukan kecemasan dihantar untuk mengesan reptilia yang terlepas dengan bantuan peralatan sonar.

Bagaimanapun, banjir yang meluas menyukarkan pencarian, justeru pihak berkuasa meminta penduduk tinggal di rumah masing-masing. – Bernama, 13 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen