Darurat di Tennant Creek susulan ancaman kebakaran


Setakat semalam, kebakaran memusnahkan lebih 10,000 km persegi kawasan di Wilayah Barkly NT, timur Tennant Creek di tengah Australia. – Gambar Facebook, 13 September, 2023.

PIHAK berkuasa mengisytiharkan situasi darurat di sebuah bandar pedalaman di Australia ketika kebakaran hutan terus meningkat.

Pemangku Ketua Menteri Wilayah Utara (NT) Nicole Manison, Menteri Perkhidmatan Kecemasan Kate Worden dan pemimpin perkhidmatan kecemasan mengumumkan dalam sidang media pada petang semalam pengisytiharan darurat dikeluarkan di bandar Tennant Creek, lebih 900 kilometer (km) di selatan Darwin, lapor Xinhua.

Pengisytiharan itu memberikan kuasa tambahan kepada pihak polis dan perkhidmatan kecemasan untuk merampas aset dan mengarahkan pemindahan jika kebakaran yang berlanjutan lebih seminggu itu merentasi bandar terbabit.

Setakat Selasa, kebakaran memusnahkan lebih 10,000 km persegi kawasan di Wilayah Barkly NT, timur Tennant Creek di tengah Australia.

Pemangku Ketua Pegawai Bomba NT Joshua Fischer berkata pihak berkuasa yakin mereka boleh menghalang kebakaran daripada merentasi Sungai Gosse dan sampai ke Tennant Creek.

“Ia kira-kira 30 km dari Tennant Creek pada masa ini,” katanya.

Walaupun pengisytiharan darurat dilaksanakan, Manison menggesa penduduk Tennant Creek untuk bertenang. – Bernama, 13 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen