PIHAK pendakwaan dalam kes Awal Ashaari yang didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar pondok pengawal milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara menarik balik pertuduhan terhadap selebriti itu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.
Peguam M Reza Hassan yang mewakili Awal Ashaari atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 42, berkata pihak pengadu memfailkan laporan polis untuk menarik balik aduan terhadap anak guamnya.
“Pengadu dalam kes ini menarik balik laporan polis terhadap Awal kerana perkara itu diselesaikan. Oleh itu pendakwa raya menarik balik pertuduhan dan mahkamah menggugurkan pertuduhan dihadapi anak guam saya,” kata peguam itu ketika dihubungi selepas prosiding kes di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad.
Pada 17 Mei 2022 personaliti televisyen itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik Pengurusan Challis Damansara yang nilai kerugian dianggarkan RM600.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara, pada 11.30 pagi, 16 April 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu semakan di Instagram milik Awal mendapati selebriti itu memuat naik gambar dan hantaran yang menyatakan kes dihadapinya telah selesai.
“Alhamdulillah hari yang baik buat kami semua. Setelah sekian lama kes saya diselesaikan dan dakwaan terhadap saya ditarik balik di mahkamah pagi ini,” kata Awal. – Bernama, 12 September, 2023.
Komen