Petani Perak dihalang berarak ke Parlimen serah memorandum


Sekumpulan petani dari Perak menggesa kerajaan menangani situasi keselamatan makanan negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 12 September, 2023.

CUBAAN sekumpulan petani dari Perak berarak ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum bagi menggesa kerajaan menangani situasi keselamatan makanan negara tidak berjaya selepas disekat polis pagi tadi.

Kumpulan petani berkenaan disokong Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Lawan Lapar, sebuah gerakan bertujuan memastikan keselamatan makanan di Malaysia

Memorandum tersebut diterima oleh wakil Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, dan Presiden Muda yang juga Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam memorandum itu, kumpulan petani terbabit menyatakan import makanan melonjak 75 kali ganda sejak 1990, dan data Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan menunjukkan stok beras Malaysia hanya mampu bertahan enam bulan, jika rantaian bekalan antarabangsa terjejas.

Memorandum itu juga menggesa kerajaan persekutuan dan negeri supaya memperbaharui undang-undang tanah dengan melanjutkan tempoh maksimum lesen pendudukan sementara daripada setahun kepada lima tahun.

Pengerusi PSM Michael Jeyakumar berkata kira-kira 647.5 hektar tanah yang digunakan untuk menanam sayur-sayuran telah diambil semula untuk pembangunan di Perak.

“Ini bukan saja menafikan petani daripada tanah pertanian mereka, tetapi juga mengancam keselamatan makanan dengan ketara.”

Tindakan polis menghalang kumpulan petani itu untuk berarak ke Parlimen dikritik wakil rakyat kerajaan.

Di platform X, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata polis sepatutnya membenarkan protes aman tersebut, yang merupakan sebahagian daripada gerakan Lawan Lapar.

“(Protes aman) merupakan sebahagian daripada demokrasi dan kita perlu belajar untuk mempermudahkannya selagi ia mematuhi semua prosedur dan dijalankan secara aman.

“Sama ada saya setuju ataupun tidak dengan kempen atau pandangan anda, kami akan pertahankan hak anda untuk menyatakannya dengan cara yang demokratik dan aman,” tulis Yii.

Sementara itu Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan pula berkata pendekatan kerajaan terhadap himpunan awam harus diubah, sambil menegaskan kumpulan petani dari Perak itu sepatutnya dibenarkan berarak ke Parlimen.

“Saya tidak past apa yang berlaku di luar Parlimen hari ini, tetapi dari segi prinsipnya rakyat mesti dibenarkan berarak ke Parlimen untuk serah memorandum,” tulisnya di platform X. – 12 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen