PENUMPANG dan anak kapal pesawat British Airways (BA) yang dijadikan tebusan di Kuwait pada 1990 berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Britain dan syarikat penerbangan itu, kata firma guaman hari ini.
Penumpang pesawat BA 149 berlepas dari Kuala Lumpur ketika ia mendarat di negeri Teluk itu pada 2 Ogos tahun berkenaan, beberapa jam selepas tentera Saddam Hussein merampas negeri itu.
Sebahagian daripada 367 penumpang dan anak kapal terbabit dikurung lebih empat bulan, termasuk dijadikan perisai manusia terhadap serangan Barat atas arahan diktator Iraq itu.
Mewakili sekumpulan bekas staf BA dan penumpang yang menaiki pesawat itu, firma McCue Jury & Partners berkata mangsa akan mengambil tindakan undang-undang bagi memastikan kebenaran terdedah, pihak terbabit perlu bertanggungjawan dan pampasan dibayar.
Firma guaman itu berkata apa yang tebusan tahu ialah wujud bukti di mana kerajaan UK dan syarikat penerbangan itu tahu pencerobohan sudah bermula tetapi tetap membenarkan pesawat itu mendarat di Kuwait.
Mereka berbuat demikian kerana penerbangan itu digunakan untuk menyelitkan pasukan operasi hitam atau bekas tentera khas dan perkhidmatan keselamatan masuk ke Kuwait, kata firma itu.
Menurut firma itu, tuntutan berkenaan pada masa ini di peringkat pra tindakan dan mereka dijangka memfailkan kes pada awal tahun depan di Mahkamah Tinggi di London.
Firma itu mengalu-alukan lebih ramai penumpang atau anak kapal penerbangan BA terbabit untuk menyertai tindakan guaman itu.
Katanya, setiap tebusan mungkin menuntut anggaran £170,000 (RM1 juta) setiap seorang dalam bentuk ganti rugi.
“Kami tidak dilayan sebagai warganegara, tetapi seperti barang gadaian untuk kepentingan komersial dan politik,” kata Barry Manners, yang turut berada dalam pesawat itu.
Fail didedahkan pada November 2021 menunjukkan duta UK di Kuwait memaklumkan London berkenaan laporan pencerobohan Iraq sebelum pesawat itu mendarat tetapi pesanan itu tidak disampaikan kepada BA. – AFP, 12 September, 2023.
Komen