Pembebasan Najib, Arul Kanda dalam kes pinda laporan audit 1MDB kekal 


Mahkamah Rayuan mengekalkan pembebasan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy daripada tuduhan meminda laporan akhir audit 1MDB. – Gambar AFP, 12 September, 2023.

MAHKAMAH Rayuan mengekalkan pembebasan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Bhd, Arul Kanda Kandasamy daripada tuduhan meminda laporan akhir audit 1MBD.

Ini selepas mahkamah menolak dua notis rayuan pihak pendakwaan.

Tiga penal hakim mahkamah rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Hadhariah Syed Ismail berkata ia kerana pihak pendakwaan tidak memfailkan petisyen rayuan apabila tarikh akhir menghampiri pada 6 Julai.

“Pihak pendakwaan juga sehingga hari ini tidak memfailkan sebarang permohonan lanjutan masa.

“Notis rayuan itu dianggap telah luput dan menjadi tidak sah mengikut undang-undang. Oleh itu, kami telah membatalkan notis rayuan (difailkan pada 9 Mac),” kata Hadhariah.

Dua lagi panel hakim yang bersidang adalah Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azmi Arioffin.

Pada 9 Mac, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Najib dan Arul Kanda selepas Hakim Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-duanya pada akhir kes pendakwaan.

Dalam keputusannya pada 3 Mac, hakim berkata Arul Kanda, yang dipanggil sebagai saksi pendakwaan, telah membuat penemuan yang benar dan penuh semasa perbicaraan.

Najib, 70, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 46, didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan kepada laporan itu bagi melindungi Najib daripada dikenakan tindakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – 12 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen