BN tidak ambil mudah PRK Pelangai, kata Wan Rosdy


Pengerusi BN Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata parti tidak mengambil mudah cabaran PRK DUN Pelangai walaupun mereka kekal mempertahankan kerusi itu sejak dahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2023.

BARISAN Nasional (BN) Pahang tidak mengambil mudah cabaran Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai walaupun mereka kekal mempertahankan kerusi itu sejak dahulu, kata Pengerusinya Wan Rosdy Wan Ismail.

“Dalam keadaan bagaimana sekalipun, kita kena dan akan terus bekerja kuat… tidak boleh ambil mudah,” katanya semasa ditemui selepas melancarkan buku bertajuk ‘Budi Pujangga’ dan Kelab Pendidikan Muzium Pahang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist (P) di Kuantan hari ini.

Selain itu Wan Rosdy berkata berdasarkan program pemukiman di Janda Baik, Bentong baru-baru ini pimpinan parti setuju menyerahkan pemilihan calon kepada pucuk pimpinan dengan enam nama berpotensi diserahkan untuk pertimbangan sebelum diumumkan dua atau tiga hari menjelang hari penamaan calon.

DUN Pelangai adalah kerusi bekas Menteri Besar Adnan Yaakob sejak 1986 dan selepas beliau mengumumkan bersara daripada politik pada tahun lepas kerusi itu ditandingi oleh Johari Harun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Johari, 53, antara 10 yang maut dalam kejadian pesawat terhempas di bandar Elmina, Shah Alam di Selangor pada 17 Ogos lepas dan sehubungan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Pelangai diadakan pada 7 Oktober ini, dengan 23 Sept sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal berlangsung pada 3 Oktober ini.

Pada PRU15 Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri yang memperoleh 2,031 undi manakala calon Pejuang Isa Ahmad hilang deposit selepas hanya mendapat 64 undi.

Ditanya mengenai kerjasama BN dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRK Pelangai, Wan Rosdy optimis mereka akan mendapat sokongan baik daripada PH mengambil kira semangat Kerajaan Perpaduan.

“Kerjasama dengan PH Pahang juga wujud sejak PRU15 bagi kerusi DUN Tioman sebelum ini,” katanya.

Pada PRU15 pengundian bagi DUN Tioman tidak dapat berlangsung pada hari pengundian 19 November 2022 berikutan kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli pada awal pagi sama menyebabkan ia ditetapkan semula pada 7 Disember tahun sama.

PH semasa itu memutuskan memberi laluan kepada calon BN mengambil kira kesepakatan antara kedua-dua parti untuk menubuhkan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri. – Bernama, 11 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen