Rusia timbang sambung pengeluaran kereta kebal T-80, kata laporan


Menurut laporan saluran televisyen milik kerajaan Rusia, Zvezda, T-80 terbukti sangat berguna semasa operasi ketenteraan khas di Ukraine. – Gambar EPA, 11 September, 2023.

RUSIA sedang mempertimbangkan untuk menyambung semula pengeluaran kereta kebal T-80, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik laporan saluran televisyen milik kerajaan Zvezda pada Ahad.

Ketua bagi pembuatan kereta kebal Uralvagonzavod, Alexander Potapov berkata syarikatnya ditugaskan untuk menyambung semula pengeluaran kereta kebal T-80.

“Ini adalah tugas, atau sekurang-kurangnya tugas ini telah ditetapkan oleh pihak tentera kepada kami,” kata Potapov dalam temu bual dengan Zvezda, sambil menambah bahawa pembuat kereta kebal itu bekerjasama dengan Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Rusia mengenai rancangan itu.

T-80 telah terbukti sangat berguna semasa “operasi ketenteraan khas” Rusia di Ukraine, menurut laporan Zvezda.

T-80 dibina di Kesatuan Soviet bermula pada 1976, tetapi dalam jumlah yang jauh lebih kecil daripada T-72, yang dibangunkan sebelumnya tetapi masih dihasilkan secara serentak. 

Menurut Potapov, terdapat perbincangan dengan Kementerian Perindustrian mengenai penubuhan kemudahan pengeluaran baharu. 

Bagaimanapun, tiada butiran lanjut mengenai peluang untuk memulakan semula pengeluaran kereta kebal itu.

Rusia mengalami kerugian besar semasa pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine, yang kini telah berlanjutan selama lebih 18 bulan, dan lebih 2,000 kereta kebalnya terjejas, menurut kumpulan penyiasat Oryx. – Bernama, 11 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen