Visi kerjasama baharu Jepun-Asean dibentang pada Disember


Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida merancang untuk menganjurkan mesyuarat sidang kemuncak peringatan Asean-Jepun untuk tahun ke-50 persahabatan dan kerjasama Asean-Jepun di Tokyo. – Gambar EPA, 11 September, 2023.

VISI kerjasama baharu antara Jepun dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) akan dibentangkan pada sidang kemuncak dua hala di Tokyo pada Disember yang dirancang untuk memperingati ulang tahun ke-50 persahabatan  antara pihak-pihak tersebut, kata Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida pada Ahad, lapor Sputnik.

“Pada Disember, saya merancang untuk menganjurkan mesyuarat sidang kemuncak peringatan Asean-Jepun untuk tahun ke-50 persahabatan dan kerjasama Asean-Jepun di Tokyo. 

“Pada mesyuarat sidang kemuncak peringatan itu, visi baharu kerjasama Asean-Jepun akan diumumkan,” Kishida memberitahu sidang media selepas berakhirnya Sidang Kemuncak G20 di New Delhi.

Asean ialah kesatuan politik dan ekonomi yang diasaskan pada 1967. Organisasi itu terdiri daripada 10 negara Asia Tenggara — Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Persatuan itu menggalakkan kerjasama ekonomi, politik, pertahanan dan kebudayaan antara negara anggotanya.

Jepun dan Asean bekerjasama sejak 1973 apabila mereka menubuhkan forum mengenai getah sintetik. Pada tahun 1978, Sidang Kemuncak Asean-Jepun yang pertama telah diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia, dan kemudiannya ia menjadi acara tetap. – Bernama, 11 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen