RMK12: Pembangunan Sabah, Sarawak terus diberi tumpuan, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan terus beri tumpuan kepada pembangunan wilayah Sabah dan Sarawak melalui pelbagai projek dan inisiatif baharu pada tempoh akhir Rancangan Malaysia ke-12. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2023.

KERAJAAN akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan wilayah Sabah dan Sarawak melalui pelbagai projek dan inisiatif baharu pada tempoh akhir Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12). 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Usul Kajian Separuh Penggal RMK12 di Dewan Rakyat hari ini berkata bagi menjamin pembangunan Sabah, kerajaan akan menyerahkan kuasa kawal selia elektrik kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata melalui penyerahan kuasa itu yang dijangka dapat dimuktamadkan menjelang Januari tahun hadapan itu, kerajaan negeri Sabah memiliki wewenang untuk mengawal selia bekalan gas dan elektrik berdasarkan kepentingan negeri.

Selain itu, beliau berkata projek pembangunan sistem tenaga boleh baharu dan menaik taraf sistem bekalan elektrik di Gugusan Felda Sahabat juga akan dilaksanakan bagi menambah baik daya harap bekalan elektrik di negeri di Bawah Bayu itu.

“Projek dengan kos sebanyak RM195 juta ini akan memanfaatkan rakyat di kawasan tersebut dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM),” katanya. 

Dalam usaha meningkatkan kualiti sistem pendidikan di kedua-dua wilayah tersebut pula, perdana menteri berkata lebih banyak projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah akan dilaksanakan. 

“Sehingga kini, sebanyak 64 projek sedang dalam pelaksanaan di Sarawak dan 43 projek lagi di Sabah,” katanya. 

Anwar turut berkata sebuah pusat darah wilayah akan dibina di Sabah, manakala Makmal Kesihatan Awam dan Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan akan dibina di Kuching, Sarawak bagi meningkatkan kemudahan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih saksama.

Sabah dan Sarawak juga akan mendapat manfaat pembangunan infrastruktur pengangkutan dan logistik yang mampan dan berdaya tahan dengan pembinaan Sarawak-Sabah Link Road II dan Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B.

Menurut Anwar, kerajaan juga melaksanakan Program Khas Bumiputera Sarawak dan Program Khas Anak Negeri Sabah untuk meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.

“Dalam kerangka Ekonomi Madani, pendekatan kita sesungguhnya merentas kaum, sama ada menoktahkan kemiskinan atau membaiki sekolah daif,” katanya. – Bernama, 11 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen