PUTRAJAYA akan membangunkan dasar yang melarang eksport unsur nadir bumi (REE), kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Kerajaan akan membangunkan satu dasar untuk melarang eksport REE bagi mengelak eksploitasi dan kerugian sumber selain memastikan pulangan maksimum kepada negara.
“Langkah ini juga akan menggalakkan pemprosesan domestik, sekali gus menyumbang kepada pendapatan tambahan negara,” katanya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata kerajaan akan memfokuskan kepada memacu pembangunan pertumbuhan sumber baharu berdasarkan kepada nadir bumi tidak radioaktif.
Anwar berkata industri nadir bumi dijangka menyumbang RM9.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.
Perlombongan REE mendapat perhatian sejak beberapa bulan terakhir ini dan menjadi isu kempen sepanjang enam pilihan raya negeri pada Ogos, dengan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail saling berbalas kenyataan berhubung aktiviti REE di Kedah.
Saifuddin Nasution mendedahkan kecurian REE di Bukit Enggang, Sik, mendakwa aktiviti itu berlaku dalam pengetahuan Sanusi.
Bulan lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil 10 exco kerajaan negeri Kedah sebagai sebahagian daripada siasatan dakwaan rasuah dan perlombongan haram REE di negeri itu.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki baru-baru ini berkata Sanusi tidak dipanggil lagi, kerana agensi itu menumpukan kepada petunjuk baharu.
Pada 14 Ogos, Sanusi memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap Saifuddin di Mahkamah Tinggi Alor Setar kerana mengaitkannya dengan kecurian REE di negeri itu dan salah guna dana persekutuan yang sepatutnya untuk projek penyelanggaraan jalan. – 11 September, 2023.
Komen