PRESIDEN Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) Luis Rubiales meletak jawatannya semalam susulan skandal dia mencium pemain Piala Dunia Wanita.
Presiden yang sedang digantung tugas itu menghantar surat perletakan jawatannya kepada presiden sementara serta menjelaskan keputusannya untuk melepaskan jawatan berkenaan.
“Saya akan meletak jawatan kerana saya tidak boleh meneruskan kerja saya. Keluarga dan rakan berkata kepada saya, ‘Luis, anda perlu menjaga maruah dan meneruskan kehidupan. Jika tidak ia akan merosakkan orang dan sukan yang anda sayang’,” kata Rubiales dalam satu wawancara bersama Piers Morgan.
Rubiales, 46, mencetuskan kontroversi apabila mencium bibir pemain tengah Sepanyol, Jennifer Hermoso ketika penyampaian hadiah Piala Dunia Wanita di Sydney pada 20 Ogos lalu.
Selepas enggan meletakkan jawatan, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menggantungnya selama 90 hari, manakala pendakwaraya Sepanyol memfailkan pertuduhan ke atasnya berkaitan serangan dan paksaan bersifat seksual.
Hermoso, 33, membuat laporan di Mahkamah Nasional pada Selasa, mendakwa Rubiales menyerangnya secara seksual.
Rubiales turut meletakkan jawatannya sebagai naib presiden Kesatuan Bolasepak Eropah. – AFP, 11 September, 2023.
Komen