4 terbunuh cuba lintas landasan kereta api di Sepanyol


Empat terbunuh sementara tiga yang lain cedera apabila keretapi komuter melanggar mereka di Sepanyol ketika mangsa cuba melintas landasan itu. – Gambar EPA, 11 September, 2023.

EMPAT individu terbunuh sementara tiga yang lain cedera apabila keretapi komuter melanggar mereka di Sepanyol ketika mangsa cuba melintas landasan itu, kata pihak berkuasa.

Ia insiden terbaru berlaku di landasan keretapi di mana pihak berkuasa di Catalonia berkata ia berpunca daripada kerajaan pusat yang gagal menyalurkan pembiayaan mencukupi.

Menurut perkhidmatan kecemasan Catalonia, kejadian berlaku di Montmelo, kira-kira 20 kilometer (km) di utara Barcelona.

“Kami juga mengaktifkan usaha mencari mangsa lain yang berkemungkinan berada berhampiran kereta api, namun tidak menemuinya.

“Kawasan itu juga dikosongkan sebelum mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital,” katanya di media sosial, X.

Perkhidmatan kecemasan turut menyediakan sembilan ambulans dan sebuah helikopter ke tempat kejadian.

Sementara itu, kira-kira 170 penumpang yang berada di dalam gerabak keretapi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Susulan kemalangan itu, perkhidmatan kereta api komuter di sebahagian daripada laluan terbabit ditutup sementara.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Raquel Sanchez mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menghargai peranan kakitangan perkhidmatan kecemasan yang bertungkus lumus membantu mangsa.

Ketua kerajaan wilayah Catalonia Pere Aragones yang amat berduka cita dengan tragedi itu berkata polis masih menyiasat punca kemalangan itu.

Pada Jun 2010, sebuah kereta api ekspres melanggar sekumpulan orang yang sedang melintasi landasan kereta api di pusat peranginan pantai Castelldefels, menyebabkan 12 terbunuh. – AFP, 11 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen