WALAUPUN terkejut dengan tindakan Padiberas Nasional Bhd (Bernas) menaikkan harga beras, pengendali restoran masih menjual makanan pada harga biasa.
The Malaysian Insight dimaklumkan kebanyakan pemilik restoran masih menjual nasi putih pada harga sedia ada tanpa pengurangan jumlahnya yang diberikan kepada pelanggan.
Walaupun mereka bersedia menyerap kenaikan harga itu pada masa ini, mereka tidak menjamin harganya terus kekal dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Bekalan beras negara menjadi perhatian apabila Bernas pada Jumaat lalu mengumumkan akan menaikkan harga beras import di seluruh negara kepada RM3,200 per tan, daripada RM2,350 per tan, berkuatkuasa serta merta.
Pengubahsuaian harga itu dibuat selaras dengan harga terbaru beras import di pasaran antarabangsa, katanya dalam satu kenyataan.
Timbalan Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia C Krishnan berkata persatuan itu mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” sebelum mengambil langkah berikutnya.
Katanya, tidak ada cadangan untuk menaikkan harga makanan dan pemilik restoran India dinasihatkan mengelakkan pembaziran dalam operasi harian.
“Ada beberapa isu berkaitan bekalan beras. Contohnya, India menghentikan import beras kecuali beras basmati dan pembekal menaikkan harga.
“Kami akan tunggu dan lihat, dan tidak menaikkan harga kerana ada beberapa cara lain boleh dilakukan untuk menangani isu itu.
“Harga boleh berubah bila-bila masa jadi kami menasihatkan ahli supaya mengelak pembaziran. Saiz hidangan nasi boleh diberikan mengikut permintaan pelanggan.
“Jika mereka mahu separuh, kita beri separuh, untuk elak makanan terbazir,” katanya.
Kira-kira 12,000 pengendali restoran India Muslim di seluruh negara, di mana perniagaan mereka bergantung kepada beras import, sedang bertahan pada masa ini.
Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma) berkata mereka masih menjual makanan pada harga sedia ada.
Presiden Presma Jawahar Ali Taib Khan berkata keadaan itu akan menjejaskan margin keuntungan pemilik restoran jika tiada tindakan diambil untuk menangani kenaikan harga berkenaan.
“Jika boleh, kami mahu memastikan tidak ada kenaikan (walaupun Bernas menaikkan harga beras import).
“Namun, ini bukan penyelasaian jangka panjang yang mampan. Sesuatu perlu dilakukan untuk meningkatkan keselamatan makanan di negara ini,” katanya.
Khamis lalu, dalam usaha menangani kekurangan beras keluaran tempatan, kerajaan menguatkuasakan sekatan jualan beras, terhad kepada pembelian 100kg bagi seorang pelanggan. – 11 September, 2023.
Berita penuh di sini.
Komen