Hadir Konvensyen DAP, Zahid kata ‘orang berbudi, kita berbahasa’


Kata Zahid, beliau menyantuni pelawaan DAP yang kini sebahagian kerajaan perpaduan. – Gambar Facebook Zahid Hamidi, 10 September, 2023.

“ORANG berbudi, kita berbahasa,” itu kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi mengenai kehadirannya buat pertama kali ke Konvensyen DAP 2023, pagi tadi.

Zahid yang juga Presiden Umno berkata beliau menyantuni pelawaan DAP yang kini sebahagian daripada gagasan kerajaan perpaduan dan mengakui terkejut dengan sambutan dan sorakan yang diberikan ketika hadir di konvensyen itu.

“Ketika Perhimpunan Agung Umno lepas, Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook) juga hadir, tepukan gemuruh yang ‘authentic’ tadi mengejutkan saya. Saya harap tiada interpretasi yang pelbagai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan program Malaysia Next Leaders 2023 di Bagan Datuk, hari ini.

Pagi tadi Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memecah tradisi sebagai Presiden Umno pertama hadir ke konvensyen DAP selepas lebih 60 tahun menjadi seteru politik.

Beliau hadir bersama Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau seterusnya turut ditanya mengenai rancangan sayap Pemuda Perikatan Nasional (PN) mengadakan perhimpunan di Kuala Lumpur pada 16 September ini sebagai tanda protes terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) beliau daripada semua pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya.

“Nak demo hari-hari pun boleh, tetapi kesannya apa? Mana-mana pihak yang mempertikaikan DNAA, kena tunggu apa keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC),” katanya.

Beliau berkata Pejabat Peguam Negara (AGC) akan menjalankan siasatan lebih terperinci terhadap representasi dikemukakan pihaknya berhubung 47 pertuduhan melibatkan Yayasan Akalbudi yang dikenakan sebelum ini.

AGC sebelum ini menegaskan pihaknya bersama pasukan siasatan masih lagi meneliti kesemua bukti baharu kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi yang membabitkan Zahid itu. – Bernama, 10 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen