PEMUDA Perikatan Nasional (PN) menggerakkan penyokong untuk turun ke jalan minggu depan bagi membantah keputusan mahkamah melepaskan Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan.
Ketua pergerakan itu Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan menyeru penyokongnya untuk berhimpun di ibu negara dengan berpakaian putih bagi membantah keputusan itu.
“Kempen ini pada peringkat awalnya akan diadakan pada Hari Malaysia 2023 (Sabtu ini) pada jam 2 petang. Kita akan himpunkan segenap anak muda yang sayangkan negara.
“Kita minta mereka datang memakai baju putih, menandakan tanda cintakan negara, membawa bendera Malaysia untuk kempen ini,” katanya seperti dipetik Berita Harian petang ini
Beliau mengumumkan rancangan itu petang ini selepas keputusan mengecewakan PN dalam pilihan raya kecil yang berlangsung di Johor semalam.
Pemimpin PAS itu seterusnya berkata selain kes Zahid, kempen itu juga membawa membawa mesej bahawa sistem perundangan negara sedang dicabuli, selain hipokrasi parti dalam kerajaan.
“... Lebih memalukan, parti yang bercakap mengenai kedaulatan undang-undang dan menolak rasuah adalah DAP tetapi DAP sudah mensucikan amalan seperti ini,” katanya.
Ahli Parlimen Pasir MAS itu berkata penjelasan Pejabat Peguam Negara (AGC) mengenai keputusan menghentikan prosiding ke atas Zahid menimbulkan banyak persoalan.
Menurutnya, Zahid sepatutnya dapat membela diri memandangkan pendakwaan sudahpun berjaya membuktikan kes prima facie ke atas timbalan perdana menteri itu.
Tambahnya, beliau percaya pihak berkuasa tidak akan menghalang perhimpunan tersebut.
“Saya yakin kerajaan reformasi ini tiada alasan nak tolak. Mereka pun lahir dari jalan raya, takkan mereka nak tolak kecuali sudah berubah,” katanya.
Keputusan untuk menghentikan pendakwaan itu pula dibuat ketika peguam negara ketika itu bercuti sewaktu peguam negara baharu Ahmad Terrirudin Mohd Salleh belum memulakan tugas, katanya.
Ahmad Fadli bercakap dalam sidang media yang turut disertai para pemimpin muda PN termasuk Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Dr Afif Bahardin dan Hilman Idham. – 10 September, 2023.
Komen