DAP bukan musuh orang Melayu, kata Loke


Ravin Palanisamy

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke bersama Pengerusi BN AhMad Zahid Hamidi yang hadir pada Persidangan DAP Kebangsaan di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 10 September, 2023.

DAP tidak seharusnya dilihat sebagai parti musuh bagi orang Melayu, kata Anthony Loke daripada DAP hari ini.

Setiausaha agung parti itu berkata, orang Melayu juga tidak perlu risau dengan kehadiran DAP dalam kerajaan perpaduan.

“Kami bukan musuh mana-mana kaum atau agama. Kami adalah parti yang menyokong rakyat Malaysia.

“Kami akan berjuang untuk semua rakyat Malaysia dan itu termasuk Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan semua,” kata ahli Parlimen Seremban itu pada Konvensyen Kebangsaan DAP di Putrajaya hari ini.

Loke berkata DAP berjanji akan mengamalkan politik sederhana melalui ideologi sosial demokrasi kerana aspirasi utama parti itu adalah untuk memastikan kesejahteraan masyarakat berbilang budaya.

“Kita akan menegakkan demokrasi dan juga prinsip keadilan,” katanya.

Sementara itu, Loke turut memuji Presiden Umno Ahamd Zahid Hamidi kerana menjadi presiden pertama parti terbesar Melayu yang menghadiri kongres DAP.

Sambil memuji pengerusi Barisan Nasional (BN), setiausaha agung DAP itu turut membidas bekas perdana menteri dua penggal Dr Mahathir Mohamad, dengan menggelarnya sebagai “pelupa”.

“Ini adalah detik bersejarah dalam politik Malaysia dan juga rekod kerana ini adalah kali pertama presiden Umno menghadiri kongres. Ini adalah fakta dan tidak boleh dipertikaikan,” kata menteri pengangkutan itu.

Loke berkata Zahid tidak akan terkejut menyaksikan beberapa pemimpin parti berucap dalam bahasa Melayu.

Beliau berkata parti itu menghormati dan menjunjung hakikat yang bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

“Saya pasti Zahid tidak terkejut dengan semua ini. Semua pemimpin kita boleh berbahasa Melayu dengan fasih dan bukan itu sahaja, malah ada antara mereka yang boleh “berpantun’ seperti Steven Sim,” katanya. – 10 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen