Tiada orang lebih besar daripada parti, kata Guan Eng 


Ravin Palanisamy

Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng pada perasmian Persidangan DAP Kebangsaan yang berlangsung di Putrajaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 10 September, 2023.

PENGERUSI DAP Kebangsaan Lim Guan Eng mengingatkan ahli parti bahawa tiada orang yang lebih besar daripada parti itu.

“Jangan lupa juga bahawa anda mesti akur kepada setiap keputusan parti.

“Jangan ingat anda lebih besar daripada parti kerana tanpa parti anda tidak berpeluang memegang jawatan kerajaan.

“Barulah parti yang berdisiplin dan bersatu boleh terus jadi teguh dan kuat yang boleh jaminkan kemenangan dalam PRU-16,” kata ahli Parlimen Bagan itu pada ucapan perasmian persidangan parti berkenaan di Putrajaya hari ini.

Walaupun Lim tidak mendedahkan nama, beliau dipercayai menyasarkan beberapa ahli terdahulu yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap parti itu kerana tidak menamakan mereka sebagai calon untuk pilihan raya negeri yang berakhir baru-baru ini.

Antara mereka yang keluar parti kerana tidak dinamakan sebagai calon pilihan raya negeri ialah bekas timbalan menteri II Pulau Pinang P Ramasamy, bekas Adun Bagan Dalam M. Satees dan bekas ketua cawangan DAP Kampung Jawa Auto City David Marshel.

DAP juga menggugurkan Exco Phee Boon Poh, Chong Eng, Yeoh Soon Hin dan Soon Lip Chee untuk pilihan raya negeri.

Dalam enam pilihan raya negeri, DAP memenangi 46 daripada 47 kerusi yang dipertandingkan. – 10 September, 2023.
 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen