Tolak bahas pembebasan Zahid di Parlimen salah guna kuasa PM, kata Perikatan


Ketua Whip Perikatan Nasional Takiyuddin Hassan berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan atau menolak usul itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 September, 2023.

PERIKATAN Nasional (PN) mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyalahgunakan kuasa kerana menolak gesaan membahaskan pembebasan Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah.

Ketua whipnya, Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berkata Anwar tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan atau menolak usul itu walaupun Ahli Parlimen Tambun itu adalah ketua parlimen.

“Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menolak untuk Parlimen membahaskan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan jenayah yang dihadapinya sebagai tindakan melanggar undangundang.”

“Meskipun sebagai Ketua Majlis Parlimen, Perdana Menteri tidak mempunyai sebarang kuasa atau hak untuk menentukan atau memutuskan berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat (standing order) sekiranya terdapat usul yang dikemukakan untuk membahaskan perkara tersebut. Sebaliknya penerimaan atau penolakan usul sedemikian berada dalam bidang kuasa dan budi bicara Yang Dipertua Dewan atau Speaker semata-mata.

“Di sini jelas bahawa Perdana Menteri telah membuat kenyataan yang melampaui bidang kuasa dan peranannya sebagai Ketua Majlis dengan mendahului keputusan yang sepatutnya dibuat oleh Yang Dipertua Dewan,” kata Takiyuddin.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) melalui naib ketuanya Atyrah Hanim Razali baru-baru ini mendesak persidangan khas Parlimen diadakan bagi membincangkan DNAA presiden Umno itu.

Atyrah Hanim dilaporkan berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu diberi tempoh untuk mencari bukti baharu untuk mendakwa semula Zahid, dan perbicaraan semula perlu dilakukan segera jika kepimpinan kerajaan perpaduan tidak mahu kehilangan kredibilitinya.

Menjawab gesaan Atyrah, Anwar berkata Parlimen tidak boleh diubah menjadi bilik mahkamah untuk membincangkan keputusan yang dibuat oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah berhubung Zahid, yang juga timbalan perdana menteri.

Anwar berkata kerajaan tidak ada bantahan terhadap mana-mana Ahli Parlimen yang bertanya mengenai kes itu semasa sidang biasa Dewan Rakyat, tetapi persidangan Parlimen tidak sepatutnya dijadikan bilik mahkamah.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata perkara itu bukan lagi kes mahkamah justeru adalah penting untuk parlimen membincangkan perkara itu yang boleh dianggap sebagai kes kepentingan awam.

Tambahnya, alasan Anwar bahawa Peguam Negara bukan menteri untuk membincangkan perkara itu di Dewan tidak boleh diterima.

“Persoalan sub judice juga tidak timbul kerana kes ini telah pun berakhir, Maka jelaslah perkara ini sepatutnya boleh dibincangkan oleh orang ramai, apatah lagi oleh Ahli Parlimen dalam forum rasmi berkepentingan awam di Dewan Rakyat. Kesan besarnya bukan sahaja ke atas institusi perundangan dan kehakiman, tetapi juga terhadap imej dan integriti kerajaan dan negara di mata rakyat dan juga masyarakat antarabangsa.

“PN juga melihat alasan Perdana Menteri bahawa Peguam Negara bukan menteri atau Ahli Parlimen bagi menyokong kenyataan beliau menolak perbahasan isu ini di Parlimen amat tidak boleh diterima. Selama ini segala isu perundangan termasuk yang dibangkitkan di Parlimen oleh Perdana Menteri sendiri dan partinya semasa berada di pihak pembangkang dahulu dapat dijawab malah diberikan penerangan yang jelas oleh Menteri-Menteri yang berkaitan termasuk kes mahkamah melibatkan isu 1MDB dan seumpamanya.

“Justeru PN menyeru dan mengharapkan agar Yang diPertua Dewan Rakyat akan membuat petua yang dihormati (respected ruling) berkaitan perkara ini berdasarkan peratuan dan undang-undang yang ada secara adil saksama tanpa gentar dan memihak (without fear of favour) serta tidak tunduk kepada desakan mana-mana pihak termasuk kerajaan,” kata ahli Parlimen Kota Bharu itu. – 10 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen