Zahid terima sambutan hangat di persidangan kebangsaan DAP


Ravin Palanisamy

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bersalam dengan Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng ketika menghadiri Persidangan Kebangsaan DAP di Putrajaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 10 September, 2023.

IA sesuatu tidak dapat dibayangkan setahun lalu tetapi hari ini kehadiran Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bersama-sama pemimpin tertinggi Umno pada Persidangan Kebangsaan DAP 2023 disambut meriah oleh perwakilan parti.

Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng berkata kemunculan presiden Umno pada muktamar parti itu tidak akan berlaku sekiranya acara itu berlangsung tahun lepas.

“Demi menjunjung titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong agar sebuah kerajaan perpaduan ditubuhkan selepas PRU ke 15 untuk jaga rakyat dan negara, maka kita bersama.

“Daripada lawan jadi kawan asalkan rakyat boleh senang,” kata ahli parlimen Bagan itu pada ucapan perasmian persidangan itu di Putrajaya hari ini.

Persidangan itu diadakan berlatar belakang kemenangan pertama kerajaan perpaduan untuk kerusi parlimen persekutuan sejak penubuhannya.

Kemenangan Suhaizan Kaiat di kerusi Parlimen Pulai menjadikan beliau ahli parlimen pertama yang dipilih dengan sokongan pakatan PH-Barisan Nasional (BN), yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

PH juga mengekalkan kerusi Parlimen Pulai dengan calonnya Suhaizan Kaiat menewaskan calon PN Zulkifli Jaafar.

Suhaizan memenangi kerusi itu dengan majoriti 18,641 undi selepas mendapat 48,283 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Zulkifli memperoleh 29,642 undi manakala calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi memperoleh 528 undi.

Gabungan PH-BN turut mengekalkan kerusi DUN Simpang Jeram.

Calonnya Nazri Abdul Rahman menang dengan majoriti 3,514 undi, menewaskan Dr Mohd Mazri Yahya dari Perikatan Nasional dan calon Bebas S. Jeganathan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, yang merupakan bekas musuh DAP, dilihat bersama-sama dengan setiausaha agung gabungan Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Ini menjadikan Zahid sebagai pemimpin pertama dari parti Melayu terbesar yang menghadiri Persidangan Kebangsaan DAP.

Pakatan Harapan dan BN menjalin kerjasama politik bersama selepas PRU15 berikutan kebuntuan politik selama seminggu.

Mereka kemudiannya membentuk kerajaan perpaduan.

Turut hadir pada persidangan itu Presiden Amanah Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa dan Naib Presiden PKR Saraswathy Kandasamy. – 10 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen