KAJIAN separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Isnin ini merangkumi 17 anjakan dasar atau pendekatan radikal selaras dengan situasi ekonomi semasa.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, anjakan itu akan memberikan cara keluar daripada masalah yang sudah timbul dalam Rancangan Malaysia sebelum ini.
“Kita selalu bercakap mengenai negara terperangkap seperti (keadaan) ekonomi lemah, nilai rendah serta pergantungan kepada pekerja asing dan masalah ini berulang-ulang dan dasar yang digunakan sebelum ini adalah dasar yang pada pandangan saya tidak cukup radikal.
“Oleh itu, anjakan (yang bakal dibentang) adalah pendekatan radikal yang diambil oleh kerajaan untuk mengatasi setiap masalah utama dalam struktur ekonomi negara kita,” katanya selepas menjadi tetamu Buletin Bernama terbitan Bernama TV pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata anjakan yang akan diselaraskan itu bukan semata-mata mengikut kehendak kerajaan persekutuan, malah ia mengambil kira padangan semua industri serta pemegang taruh.
Katanya, pengolahan anjakan itu turut mengambil kira kemampuan kewangan negara, ketersediaan kemahiran serta penerimaan rakyat Malaysia.
“Pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga adalah merupakan salah satu anjakan besar yang kerajaan laksanakan sebelum pembentangan KSP. Dan melihat kepada kerja rumah yang dilakukan Kementerian Ekonomi dan pihak terbabit adalah cukup baik dari segi penerimaannya.
“Kita ada iltizam yang besar untuk berubah kerana masalah ini berlarutan lama dan mandat yang ada ini sebaiknya diteruskan dengan pembaharuan radikal.
“Kalau pun ada yang mungkin tidak selesa, saya yakin selepas dua dan tiga tahun kita boleh lihat kesannya dan industri serta orang ramai akan memahami dan menerima ajakan ini,” jelasnya.
Isnin ini, perdana menteri akan membentangkan KSP RMK12 pada mesyuarat khas Dewan Rakyat yang bersidang selama enam hari.
KSP RMK12 itu disediakan bagi mengukur pencapaian pada 2021-2022, serta hala tuju 2023-2025 ke arah mencapai negara mampan, sejahtera dan berpendapatan tinggi dengan mengambil kira cabaran domestik dan trend global semasa.
RMK12 merupakan rancangan lima tahun (2021-2025) yang dibentang oleh kerajaan terdahulu oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada September 2021 dengan peruntukan sebanyak RM400 bilion untuk projek sambungan dan projek baharu. – Bernama, 9 September, 2023.
Komen