Adun Rembia mahu dipecat dari Umno, kata laporan


SEORANG wakil rakyat Umno Melaka kini mahu dipecat dari parti selepas melakukan sabotaj dengan menghadiri acara parti lawan, menurut laporan.

Laporan Malaysiakini menyebut, wakil Rembia Muhammad Jailani Khamis mencabar parti berbuat demikian selepas dikemukakan surat tunjuk sebab kerana hadir ke acara parti lawan di Johor.

Laporan memetik sumber Umno itu menyebut, Lembaga Disiplin mahu mencadangkan penggantungan keahlian namun mereka sedar Jailani mahu parti mengambil tindakan pemecatan.

“Lembaga Disiplin Umno cadang gantung keahlian selama enam tahun kerana tindakan melanggar peraturan parti seperti yang telah dimaklumkan dalam surat yang diberikan kepada beliau.

“Kami sedar bahawa dia mahu Lembaga Disiplin Umno memecatnya berdasarkan surat tunjuk sebab yang kami terima,” kata sumber itu seperti dikutip.

Dewan Undangan Negeri Melaka sudahpun meminda perlembagaan negeri pada Julai lalu bagi menghalang kegiatan wakil rakyat melompat parti.

Jailani yang juga bekas exco pelancongan Melaka didakwa melakukan sabotaj ke atas Umno kerana hadir ke acara pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) pada 23 Ogos.

Lembaga Disipilin Umno seterusnya dilaporkan memanggil Jailani untuk pendengaran pada 5 September dan mengemukakan surat tunjuk sebab ke atasnya.

Kes melibatkan Jailani dilaporkan akan diputuskan Majlis Kerja Tertinggi Umno minggu depan, kata laporan itu.

Jailani yang juga bekas wakil rakyat PKR seterusnya dilaporkan menyebut beliau hadir ke acara itu sebagai pengerusi Muafakat Nasional bagi negeri Melaka.

Muafakat Nasional merupakan badan ditubuhkan bekas menteri Umno Annuar Musa sebelum PRU15. – 9 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen