Tekong, awak-awak Indonesia ditahan ceroboh perairan negara 


SEORANG tekong dan awak-awak warga lndonesia ditahan kerana disyaki cuba memasuki perairan negara melalui jalan tidak sah di perairan Pantai Pengkalan Balak, Masjid Tanah, di Melaka malam tadi

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata bot dinaiki dua lelaki masing-masing berumur 46 dan 22 tahun itu, berjaya dipintas di kedudukan lebih kurang 0.2 batu nautika barat daya pada 11.20 malam tadi.

“Hasil maklumat risikan, terdapat kontak curiga dari laluan Skim Pemisah Trafik (TSS) sedang bergerak masuk menuju ke perairan Kuala Sungai Baru. 

“Bertindak atas maklumat tersebut, bot ronda APMM yang sedang membuat rondaan operasi telah diatur gerak ke lokasi dengan bantuan pengesanan dari Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut,” katanya dalam satu kenyataan di Melaka hari ini.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata pemeriksaan ke atas bot gentian kaca warna kelabu menggunakan satu enjin mercury 60 kuasa kuda itu mendapati  tekong dan awak-awak gagal mempamerkan dokumen perjalanan yang sah.

Beliau berkata kesemua mereka juga telah didapati memasuki Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan.

“Bot dan suspek ditahan seterusnya dibawa ke Jeti APMM Melaka dan Negeri Sembilan untuk disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – Bernama, 9 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen