Calon Pakatan PRK Pulai nasihat pengundi keluar awal, elak cuaca buruk


Calon Pakatan Harapan untuk PRK Parlimen Pulai Suhaizan Kayat membuang undi awal sekitar jam 9 pagi tadi, beliau ditemani isteri Dr Norsham Idris. – Gambar Facebook, 9 September, 2023.

CALON Pakatan Harapan untuk kerusi Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat, menasihati pengundi untuk keluar membuang undi mereka awal bagi mengelak cuaca buruk yang diramal berlaku petang ini.

“Proses pengundian berjalan lancar. Semua saluran juga berjalan lancar. Kita lihat trafik pun agak baik dibantu oleh kawalan pihak polis, tiada sebarang halangan untuk semua pengundi turun dengan selamat. 

“Tetapi saya bimbang tentang cuaca, kerana Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan akan berlaku hujan lebat petang ini.

“Saya mohon semua pengundi di Parlimen Pulai dapat turun mengundi awal hari ini bagi menunaikan tanggungjawab mereka,” kata bekas speaker DUN Johor itu selepas mengundi hari ini.

Beliau ditemani isteri, Dr Norsham Idris dan membuang undinya sekitar jam 9 pagi tadi.

Suhaizan berdepan cabaran tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional Zulkifli Jaafar dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi.

Awan mendung dan hujan mengiringi proses pengundian di 61 pusat pengundian di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pagi tadi.

MetMalaysia meramalkan hujan pagi ini dan ribut petir pada petang di kedua-dua kawasan.

Sementara itu, pengundi dilihat tiba seawal jam 7 pagi di pusat pengundian, susulan nasihat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam untuk menunaikan tanggungjawab mereka bagi mengelak cuaca yang tidak menentu.

Sebelum itu, pegawai SPR, anggota keselamatan dan petugas pilihan raya lain berkumpul pada jam 6 pagi untuk mendengar taklimat sebelum membuka pusat pengundian pada jam 8 pagi.

Sejumlah 3,370 pegawai SPR dan 4,000 anggota polis bertugas pada pilihan raya kecil ini bagi memastikan kelancaran proses pengundian hari ini.

Ini termasuk memantau dan mengawal keselamatan di semua pusat pengundian, pusat kiraan undi dan kawasan sekitar selain memastikan kelancaran aliran trafik.

Menurut SPR, terdapat 165,509 pengundi berdaftar di Parlimen Pulai dan 48,301 pengundi DUN Simpang Jeram.

Kedua-dua PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Salahuddin Ayub yang juga menteri perdagagangan dalam negeri dan kos sara hidup pada 23 Julai lalu. – 9 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen