Sidang Kemuncak G20 di Delhi bermula


Sidang Kemuncak Pemimpin G20 ke-18 bermula pada Sabtu di New Delhi bertemakan "One Earth, One Family, One Future."– Gambar AFP, 9 September, 2023.

SIDANG Kemuncak Pemimpin G20 ke-18 bermula pada Sabtu di New Delhi bertemakan “One Earth, One Family, One Future.”

Perdana Menteri India Narendra Modi dijadual mengalu-alukan pemimpin dunia apabila mereka tiba pada hari pertama sidang kemuncak itu, lapor Agensi Anadolu.

Dengan ketiadaan Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden China Xi Jinping, pemimpin G20 akan bertukar-tukar pandangan dalam tiga sesi, dengan harapan dapat mencapai kemajuan dalam perdagangan, iklim serta masalah global yang lain.

Pada hari pertama, pemimpin akan menghadiri sesi “One Earth” dan “One Family”.

Mereka akan meletakkan kalungan bunga Ahad di makam ikon antarabangsa India Mahatma Gandhi di New Delhi sebelum menghadiri upacara penanaman pokok.

Selepas sesi ketiga, “One Future,” pemimpin G20 dijangka menerima pakai Deklarasi Pemimpin New Delhi, yang merupakan komitmen terhadap keutamaan yang dibincangkan dan dipersetujui semasa mesyuarat kementerian dan kumpulan kerja masing-masing.

Pada terasnya, G20 ialah forum antara kerajaan yang prihatin dengan isu ekonomi dan terdiri daripada 20 ekonomi terbesar dunia—19 negara dan Kesatuan Eropah. Ia memainkan peranan penting dalam membentuk dan mengukuhkan seni bina dan tadbir urus global dalam semua isu ekonomi antarabangsa utama.

Negara anggotanya ialah Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Turkiye, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Presiden India juga menjemput pemimpin Bangladesh, Belanda, Nigeria, Mesir, Mauritius, Oman, Singapura, Sepanyol, dan Emiriah Arab Bersatu.

Selain organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia, India turut menjemput ahli Perikatan Solar Antarabangsa, Gabungan Infrastruktur Ketahanan Bencana dan Bank Pembangunan Asia sebagai tetamu.

Jawatan presiden G20 akan disandang oleh Brazil pada 2024 dan Afrika Selatan pada 2025. – Bernama, 9 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen