PEGAWAI tinggi Tentera Udara AS Jeneral Charles Brown memberi amaran kepada anggotanya pada Jumaat yang China sedang berusaha “mengeksploitasi” pengetahuan ketenteraan Amerika dan Nato bagi memperkukuh ketumbukan tenteranya.
AS berkata China adalah cabaran terbesar kini dan mengekalkan kelebihan ketenteraan boleh membantu usaha Washington untuk mengekang tindakan agresif China.
“Tentera Pembebasan Rakyat (LPA) mahu mengeksploitasi pengetahuan dan kemahiran anda bagi mengisi lompang keupayaan ketenteraan mereka,” tulis Brown -yang dicalonkan untuk menjadi pegawai tertinggi tentera AS- dalam dokumen dialamatkan kepada anggota tentera udara.
“Syarikat asing mensasarkan dan merekruit bakat ketenteraan dilatih AS dan Nato dalam pelbagai bidang dan kerjaya untuk melatih anggota PLA di luar negara,” kata Brown lagi.
“Dengan melatih pelatih, ramai yang menerima kontrak dengan syarikat asing ini menghakis keselamatan nasional, meletakkan keselamatan anggota lain dan negara dalam risiko dan mungkin juga melanggar undang-undang.”
China dan AS sejak beberapa bulan lepas kembali ke meja rundingan dengan harapan untuk menstabilkan hubungan yang terjejas teruk antara dua kuasa besar itu.
Ketegangan memuncak tahun ini berkaitan pelbagai isu termasuk dakwaan balon perisikan China yang ditembak jatuh pesawat tentera AS selepas menceroboh negara itu dan percanggahan kepentingan di Taiwan dengan Washington memberikan sokongan ketenteraan dan Beijing mendakwa ia adalah sebahagian daripada wilayahnya. – AFP, 9 September, 2023.
Komen