PEKERJA kecemasan Brazil pada Jumaat mencari hampir 50 orang yang masih hilang selepas puting beliung melanda yang menyebabkan hujan lebat dan banjir di selatan negara itu.
Lima hari selepas puting beliung itu yang menyebabkan 41 orang maut, negara itu masih mengira jumlah korban yang terus meningkat dengan sekurang-kurangnya 223 orang cedera dan 11,000 terpaksa meninggalkan rumah mereka, kata kenyataan rasmi.
Lebih 147,000 orang terjejas kerana bencana yang melanda negeri Rio Grande do Sul, kata pihak pertahanan awam dalam satu kenyataan.
Ia menambah jumlah mereka yang hilang juga meningkat daripada 25 kepada 46 orang.
Hampir seribu pekerja kecemasan dan berpuluh helikopter dikerah untuk usaha menyelamat, yang tergendala kerana dua jambatan runtuh dan jalan raya pula rosak teruk.
Lapan pesawat tentera dan ratusan tentera juga mengambil bahagian dalam operasi mencari dan menyelamat.
Presiden Luiz Inacio Lula da Silva, yang kini berada di India kerana menghadiri sidang kemuncak G20, mengantar Naib Presiden Geraldo Alckmin ke kawasan bencana, yang tiba pada Ahad dengan delegasi kementerian.
“Kami bertindak di semua aspek,” tulis Lula di media sosialnya.
Alckmin pada sidang media di Brasilia pula mengumumkan yang kerajaan Persekutuan akan menghantar 20,000 bakul makanan dan kit ubat-ubatan kepada 15,000 penduduk Rio Grande do Sul yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana oleh pihak berkuasa.
Selain itu, lebih 3,000 orang kehilangan rumah mereka juga menerima 800 reais (AS$ 167), katanya.
Gabenor Rio Grande do Sul, Eduardo Leite, menganggarkan kos pembinaan semula infrastruktur jalan akan menelan belanja 100 juta reais (AS$20 juta).
Puting beliung adalah bencana jarang berlaku di Brazil, tetapi kini “semakin kerap berlaku” yang menyebabkan tanah runtuh di seluruh negara, menurut Francis Lacerda, penyelidik di Makmal Perubahan Iklim Institut Ekonomi Pertanian Negeri Pernambuco.
“Ini semua adalah kesan perubahan iklim,” kata Alckmin.
Urbanisasi yang tidak terkawal dan pembinaan rumah di kawasan bukit juga menjadikan bencana alam di Brazil lebih berbahaya, kata pakar lagi.
Pada Jun lepas, puting beliung menyebabkan 13 maut di Rio Grande do Sul dan memaksa ribuan orang meninggalkan rumah mereka.
Pada Februari pula, 65 orang maut dalam kejadian tanah runtuh disebabkan oleh banjir besar di Sao Sebastiao.
Dianggarkan 9.5 juta daripada 203 juta penduduk Brazil tinggal di kawasan berisiko banjir atau tanah runtuh. – AFP, 9 September, 2023.
Komen