SATU panel penasihat kerajaan Amerika Syarikat pada Jumaat mengecam sekatan dikenakan Perancis ke atas pemakaian abaya di sekolah, berkata sekatan pakaian itu bertujuan “menakut-nakutkan” minoriti Islam.
Suruhanjaya Kebebasan Beragama Antarabangsa AS ditugaskan untuk memberi cadangan kepada kerajaan AS tetapi tidak berkuasa menetapkan dasar.
Pengerusi suruhanjaya Abraham Cooper menyifatkan pengharaman abaya adalah “usaha menyimpang untuk mempromosikan nilai laicite Perancis”, prinsip sekularisme negara itu.
“Perancis terus menggunakan tafsiran khusus sekularisme untuk menyasarkan dan menakut-nakutkan kumpulan agama terutama sekali Islam,” kata Cooper dalam satu kenyataan.
“Walaupun tiada kerajaan sepatutnya menggunakan autoriti mereka untuk menyekat agama tertentu penduduk mereka, ia juga tidak boleh menyekat amalan tidak mengancam dilakukan individu kerana prinsip agama mereka untuk mempromosikan sekularisme.”
Menteri Pendidikan Gabriel Attal pada bulan lepas mengumumkan yang sekolah tidak lagi boleh membenarkan pelajar perempuan memakai abaya, baju longgar yang berasal dari Timur Tengah.
Pada 2004, Perancis mengharamkan pelajar sekolah daripada memakai “sebarang pakaian atau tanda yang jelas menunjukkan agama mereka” sekaligus mengharamkan tudung, turban, salib besar atau kippas.
Tetapi abaya termasuk dalam kategori mengelirukan kerana ada wanita yang memakainya berkata ia adalah identiti budaya dan bukannya kepercayaan agama.
Politikus konservatis Perancis cuba memperluaskan sekatan itu. Pemimpin Haluan kanan Marine Le Pen yang berada di tempat kedua selepas Presiden Emmanuel Macron pada pilihan raya presiden tahun lepas telah berkempen untuk mengharamkan pemakaian tudung di jalan awam.
Pengharaman abaya dikecam beberapa pemimpin Islam dan pemimpin politik berhaluan kiri Jean-Luc Melenchon.
Anggota Suruhanjaya Kebebasan Beragama Antarabangsa AS dilantik daripada kedua-dua parti politik utama tetapi banyak cadangan mereka diabaikan Jabatan Negara, termasuk desakan supaya mengecam India.
AS mempunyai perlembagaan yang memisahkan gereja dan negara tetapi tafsiran sekularisme yang berbeza, dengan kerajaan mengenakan sekatan minimum terhadap kebebasan beragama. – AFP, 9 September, 2023.
Komen