Azmin yang matikan reformasi, kata Anwar


Alfian Z.M. Tahir

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Azmin Ali yang mematikan reformasi, bukan beliau. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2023.

AZMIN Ali yang mematikan reformasi, bukan saya, tegas Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan ketua penerangan Perikatan Nasional (PN) itu, bahawa reformasi yang diperjuangkan Anwar yang juga presiden PKR itu sudah mati.

“Bermula dengan dialah (Azmin). Dia yang mematikan reformasi. Yang lain masih kekal, Alhamdulillah,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek di Seri Petaling hari ini.

Semasa berucap pada program PN di Kampung Parit Keroma Darat, Muar, malam tadi, Azmin mendakwa Anwar telah mengorbankan prinsipnya sebelum ini apabila bersekongkol untuk membebaskan pemimpin-pemimpin Umno daripada tuduhan rasuah.

Azmin yang juga bekas timbalan presiden PKR berkata tindakan itu bertentangan dengan apa yang diperjuangkan Anwar ketika sebelum menjadi perdana menteri.

Beliau selain itu mempersoalkan mengapa penyokong dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) membisu apabila Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan atas tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram. 

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Zahid yang juga timbalan perdana menteri atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Manakala semalam, Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya Zizie Izette Abdul Samad dilepas dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta. 

Semalam juga, bekas Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam daripada pertuduhan mencabul kehormatan seorang jurujual wanita dua tahun lepas. – 8 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen