BERAS putih tempatan semakin sukar diperolehi di Pulau Pinang di tengah-tengah dakwaan ada sesetengah peniaga menyimpan stok untuk dijual pada harga yang lebih tinggi kepada warga asing, kata Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
Ini berdasarkan tinjauan CAP yang mendapati banyak rak jualan beras putih tempatan kosong di pasar raya sekitar negeri itu, menurut presidennya Mohideen Abdul Kader dalam kenyataan hari ini.
“Timbul dakwaan sesetengah peniaga menyimpan beras tempatan dan menjualnya pada harga yang lebih tinggi sehingga RM30 bagi setiap 10kg kepada warga asing, sedangkan harga yang ditetapkan kerajaan hanya RM26 (10kg).
“Situasi ini menunjukkan Malaysia terdedah kepada ketakjaminan makanan yang kian membarah sejak beberapa dekad dalam usaha mengejar ‘pembagunan’.
“Pada 1970-an pengeluaran domestik memenuhi 75% permintaaan beras dalam negara. Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini hanya mampu mengeluarkan antara 60% hingga 65%,” kata Mohideen.
Tambah beliau, cubaan untuk memanipulasi pasaran oleh pihak yang mahu mengaut keuntungan mudah hanya boleh dikekang jika kerajaan mengambil tindakan sewajarnya.
Jsuteru CAP menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mencari penyelesaian segera bagi mengatasi masalah bekalan beras putih tempatan.
Isu bekalan beras putih tempatan timbul selepas Padiberas Nasional Bhd (Bernas) menyelaras harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan berkuat kuasa 1 September.
Bernas dalam satu kenyataan berkata langkah pelarasan itu juga sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.
Menurut Bernas, pihaknya akan terus memantau pasaran harga beras antarabangsa dan menyesuaikannya apabila situasi kembali seperti sedia kala.
Meski naik 36%, Malaysia merupakan negara Asia Tenggara yang masih mengekalkan harga import beras terendah, tambahnya. – 8 September, 2023.
Komen