Anwar tolak bincang DNAA Zahid di Parlimen


Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak gesaan supaya keputusan untuk Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan dibincangkan di Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim menolak gesaan supaya keputusan untuk Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA)  daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dibincangkan dalam sidang khas Parlimen.

Anwar berkata Parlimen bukanlah forum yang sesuai untuk membincangkan sebarang keputusan mahkamah atau kes undang-undang.

Menjawab soalan pemberita mengenai gesaan sayap pemuda partinya untuk mengadakan sidang khas membincangkan keputusan itu, Anwar berkata prinsip pengasingan kuasa dalam kerajaan demokrasi mesti dipertahankan.

“Parlimen bukan mahkamah. Kita tidak boleh berunding atau membincangkan kes mahkamah dalam Parlimen.

“Selain itu, kita mesti menghalang Parlimen daripada menjadi forum untuk prosiding undang-undang,” kata perdana menteri.

Beliau berkata ahli Parlimen boleh bertanya soalan mengenainya di Parlimen tetapi mereka juga perlu ingat mungkin tidak ada jawapan kerana peguam negara tidak akan berada di sana kerana beliau bukan ahli Parlimen mahupun menteri.

Naib ketua sayap Pemuda PKR Tyra Hanim Razali, semalam mendakwa terdapat konspirasi terancang dalam keputusan menarik balik 47 pertuduhan terhadap presiden Umno itu, walaupun AG menjelaskan keputusan itu.

Katanya, seolah-olah ada ‘plot’ yang dirancang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tyra dalam satu kenyataan berkata ada sesuatu yang “tidak kena”, kerana peguam negara Idrus Harun sedang dalam cuti pra-persaraan ketika keputusan dibuat, dan timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran, yang telah berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Zahid, dilaporkan turut memohon untuk bersara awal.

Sementara itu, AGC berkata penarikan balik 47 pertuduhan rasuah terhadap Zahid adalah berdasarkan alasan yang kukuh. – 8 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen