Anwar bukan seperti dulu, kata Azmin


Ketua Penerangan PN Azmin Ali bersama Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, MB Nassuruddin Daud dan Pengerusi MN Annuar Musa pada program PN Simpang Jeram di Kampung Parit Keroma Darat, Muar, malam tadi. – Gambar Facebook, 8 September, 2023.

BEKAS orang kanan Anwar Ibrahim, Azmin Ali hari ini mendakwa perdana menteri itu mengorbankan prinsipnya apabila bersubahat untuk membebaskan pemimpin Umno daripada tuduhan rasuah.

Azmin yang kini ketua penerangan Perikatan Nasional (PN) turut mempersoalkan kenapa pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) yang mengambil sikap berdiam diri berhubung kes rasuah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid minggu ini dibebaskan tanpa dilepaskan atas 47 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

“Mana penyokong-penyokong PH, mana Lim Guan Eng, mana Mat Sabu.

“Dalam prinsip perjuangan mesti ada prinsip yang berpegang kepada penolakan rasuah, tolak perompak dan tolak perasuah tetapi kerana aku ingin menjadi perdana menteri, aku sanggup korbankan prinsip dan perjuangan, aku angkat perasuah jadi timbalan aku,” katanya pada program PN Simpang Jeram di Kampung Parit Keroma Darat, Muar, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man; Menteri Besar Kelantan Nassuruddin Daud dan Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Annuar Musa.

Azmin berkata Anwar kini bukan saja tidak lagi seperti dahulu sebaliknya sanggup berpeluk dengan perasuah semata-mata mahu menjadi perdana menteri.

“Anwar sebelum ini ajar kita lawan dengan rasuah, hari ini berdakap dengan perasuah. Dia janji dengan bangsa Johor, dia janji dengan rakyat Johor dan dia ajak kita pergi jalanan lawan kleptokrat dan lawan perasuah.

“Hari ini beliau berdakap dan berpeluk dengan perasuah, (kita akan) pasti lawan Anwar Ibrahim,” katanya.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Zahid yang juga atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Terbaru, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya Zizie Izette Abdul Samad daripada tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta. 

Semalam bekas Adun Permatang Pasir yang juga ahli jawatankuasa pusat Amanah Muhammad Faiz Fadzil dilepaskan tanpa dibebaskan daripada tuduhan melakukan serangan seksual bagi mencabul kehormatan seorang jurujual wanita, dua tahun lalu. – 8 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen