Ukraine fail rayuan di mahkamah jika EU teruskan sekatan import bijirin


Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata pihaknya akan fail rayuan di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa jika larangan import produk pertanian Ukraine ke beberapa negara EU diteruskan selepas 15 September. – Gambar EPA, 8 September, 2023.

UKRAINE akan memfailkan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa jika larangan import produk pertanian Ukraine ke beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) diteruskan selepas 15 September, kata Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, lapor Sputnik.

Pada 2 Mei, EU membenarkan lima negara, Bulgaria, Hungary, Poland, Romania dan Slovakia, untuk menyekat import bijirin Ukraine bagi menangani kekurangan bijirin, akan tamat pada 15 September.

Pelanjutan langkah ini masih menjadi isu apabila lima negara itu mahu memohon lanjutan larangan tersebut sehingga akhir tahun ini.

“Ukraine menentang sebarang sekatan lanjut ke atas eksport bijirinnya… Institusi Eropah tidak sepatutnya melipatgandakan kekecewaan di Eropah, sebaliknya wajar meningkatkan keyakinan terhadap janji yang dibuat di Eropah.

“Jika kita perlu berjuang untuk Ukraine dan asas Eropah dI timbang tara, kami akan lawan. Kami tidak mahu, tetapi kami terpaksa berjuang di platform organisasi antarabangsa,” kata presiden Ukraine pada sidang kemuncak Inisiatif Tiga Laut di Bucharest.

Zelensky yang menujukan ucapannya kepada pemimpin Bulgaria, Hungary, Moldova, Slovakia dan Poland, negara utama eksport pertanian Ukraine, berkata sebarang sekatan ke atas eksport Ukraine akan “meningkatkan kemusnahan” yang disebabkan oleh operasi ketenteraan khas Russia.

“Bijirin kami merupakan sumber pendapatan yang baik untuk pelbagai negara di Eropah, yang memproses produk pertanian kami yang menyumbang hasil menerusi logistik manakala petani dari negara berbeza menggunakan makanan Ukraine untuk manfaat ladang.

“Syarikat pula membuat wang dalam transit yang kesemuanya memberi manfaat kepada keseluruhan ekonomi Eropah.

“Bagi Ukraine dalam ekonomi Eropah, ia bukan tentang menjana wang tetapi untuk kelangsungan hidup,” kata Zelensky.

Inisiatif Tiga Laut ialah platform yang menghimpunkan 12 anggota EU yang terletak antara Laut Baltik, Adriatik dan Laut Hitam. – Bernama, 8 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen